Pekerja membersihkan sisa tumpahan minyak di Pulau Sentosa. - FOTO AFP
Pekerja membersihkan sisa tumpahan minyak di Pulau Sentosa. - FOTO AFP
Bernama-Xinhua

Singapura: Proses pembersihan tumpahan minyak di pantai Tanjong dan Palawan di pulau peranginan Sentosa, Singapura akan mengambil masa tiga bulan untuk diselesaikan, kata Menteri Kemampanan dan Sekitaran Singapura Grace Fu, pada Isnin, lapor Xinhua.

Beliau berkata tindak balas pembersihan dalam fasa seterusnya akan memberi tumpuan kepada penyingkiran sisa minyak yang terperangkap di beberapa kawasan yang sukar diakses, seperti benteng pemecah ombak dan tambak batu.

Beliau juga menyatakan pihak berkuasa sedang memantau kesan jangka panjang di tapak sensitif biodiversiti.

Tumpahan minyak itu berlaku selepas perlanggaran antara kapal korek dan kapal bunker pada 14 Jun dengan minyak itu merebak ke kawasan pantai selatan Singapura, termasuk Sentosa dalam beberapa hari berikutnya.

Organisasi awam dan swasta telah mengerahkan lebih 700 anggota untuk operasi pembersihan, kata Penguasa Kelautan dan Pelabuhan Singapura, sambil menambah bahawa mereka telah mengumpul 550 tan pasir dan serpihan yang dicemari minyak dari pantai yang terjejas.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2024 @ 10:46 PM