FOTO AFP
FOTO AFP
AFP

Riyadh: Sekurang-kurangnya 550 jemaah haji meninggal dunia akibat cabaran mengerjakan ibadah itu dalam cuaca panas terik.

Dua pegawai diplomat Arab Saudi mengesahkan, 323 daripada jumlah itu membabitkan rakyat Mesir.

Katanya, kebanyakan mereka meninggal dunia akibat penyakit berkaitan panas.

"Semua mereka (rakyat Mesir) mati kerana kepanasan kecuali seorang yang mengalami kecederaan maut semasa rempuhan orang ramai, salah seorang diplomat.

"Jumlah itu direkodkan dari bilik mayat hospital di kejiranan Al-Muaisem di Makkah," katanya kepada AFP.

Mereka berkata, sekurang-kurangnya 60 warga Jordan juga turut meninggal dunia, meningkat daripada jumlah rasmi 41 yang didedahkan Amman sebelum ini.

"Sebanyak 550 kes direkodkan dari bilik mayat di Al-Muaisem, salah satu kemudahan terbesar di Makkah," katanya.

Kematian baharu itu menjadikan jumlah yang dilaporkan setakat ini dari beberapa negara kepada 577, menurut pengiraan AFP.

Pihak berkuasa Arab Saudi juga melaporkan merawat lebih 2,000 jemaah yang mengalami tekanan haba, setakat Ahad lalu.

Ibadah haji adalah rukun Islam kelima dan semua umat Islam yang berkemampuan hendaklah melakukannya sekurang-kurangnya sekali.

Ibadah haji semakin terjejas akibat perubahan iklim, menurut kajian Arab Saudi yang diterbitkan bulan lalu yang mengatakan suhu di kawasan membabitan lokasi haji meningkat 0.4 darjah Celsius setiap dekad.

Pusat Meteorologi Arab Saudi merekodkan, suhu mencecah 51.8 darjah Celsius di Masjidil Haram, pada Isnin.

Semalam, Kementerian Luar Mesir berkata, Kaherah bekerjasama dengan pihak berkuasa Arab Saudi dalam operasi mencari warga Mesir yang hilang semasa menunaikan aji.

Walaupun kenyataan kementerian mengatakan sebilangan kematian berlaku, ia tidak menyatakan sama ada rakyat Mesir adalah antara mereka.

Sekurang-kurangnya 240 jemaah haji dari pelbagai negara dilaporkan meninggal dunia tahun lalu, kebanyakannya warga Indonesia.

Tinjauan AFP di Mina Isnin lalu menyaksikan, jemaah haji mencurah botol air ke atas kepala mereka ketika sukarelawan menghulurkan minuman sejuk dan ais krim coklat yang cepat cair untuk membantu mereka kekal sejuk.

Pegawai Arab Saudi menasihatkan jemaah haji supaya menggunakan payung, minum banyak air dan mengelakkan pendedahan kepada matahari pada waktu paling panas.

Tetapi kebanyakan ibadah haji berada di luar pada siang hari termasuk melontar Jamrah.

Kira-kira 1.8 juta jemaah menunaikan haji tahun ini, 1.6 juta daripadanya dari luar negara, menurut pihak berkuasa Arab Saudi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2024 @ 3:29 PM