PENGAWAL keselamatan memantau keadaan di Masjidilharam, Makkah. FOTO AFP
PENGAWAL keselamatan memantau keadaan di Masjidilharam, Makkah. FOTO AFP
AFP

Riyadh: Rakan-rakan dan keluarga mencari jemaah haji yang hilang pada Rabu, ketika jumlah kematian pada musim menunaikan ibadah itu tahun ini dipercayai melepasi 900 orang.

Saudara-mara meninjau hospital dan merayu dalam talian untuk berita, kerana bimbang selepas suhu di Makkah, pada Isnin lalu, mencecah 51.8 darjah Celsius.

Kira-kira 1.8 juta orang dari seluruh dunia, ramai orang tua dan kurang upaya menunaikan haji tahun ini ketika cuaca panas terik di Arab Saudi.

Seorang diplomat Arab memberitahu AFP bahawa kematian dalam kalangan rakyat Mesir sahaja melonjak kepada "sekurang-kurangnya 600", daripada lebih 300 sehari sebelumnya, kebanyakannya disebabkan oleh cuaca panas.

Angka itu menjadikan jumlah kematian yang dilaporkan setakat ini kepada 922, menurut pengiraan AFP berdasarkan angka daripada pelbagai negara.

Diplomat itu kemudian menambah bahawa pegawai Mesir di Arab Saudi menerima "1,400 laporan kehilangan jemaah haji", termasuk 600 yang maut.

Mabrouka Salem Shushana dari Tunisia, awal 70-an, dilaporkan hilang sejak kemuncak ibadah haji pada Sabtu di Gunung Arafat, kata suaminya Mohammed kepada AFP pada Rabu.

Oleh kerana wanita itu tidak berdaftar dan tidak mempunyai permit haji rasmi, dia tidak dapat mengakses kemudahan berhawa dingin yang membolehkan jemaah haji menyejukkan badan, katanya.

"Dia seorang wanita tua. Dia penat. Dia berasa sangat panas, dan dia tidak mempunyai tempat untuk tidur," katanya. "Saya mencarinya di semua hospital. Sehingga kini, saya tidak mempunyai sebarang petunjuk."

Facebook dan media sosial lain dibanjiri dengan gambar individu hilang dan permintaan untuk maklumat.

Mereka yang mencari berita termasuk keluarga dan rakan kepada Ghada Mahmoud Ahmed Dawood, seorang jemaah Mesir yang hilang, sejak Sabtu lalu.

"Saya menerima panggilan daripada anak perempuannya di Mesir merayu saya untuk meletakkan sebarang hantaran di Facebook yang boleh membantu menjejakinya atau mencarinya," kata seorang rakan keluarga di Arab Saudi.

"Berita baiknya ialah sehingga kini kami tidak menjumpainya dalam senarai orang mati, yang memberi kami harapan dia masih hidup."

Ibadah haji adalah salah satu daripada rukun Islam yang lima dan semua orang Islam yang berkemampuan hendaklah menyempurnakannya, sekurang-kurangnya sekali.

Masanya ditentukan oleh kalendar Islam, beralih ke hadapan setiap tahun dalam kalendar Gregorian.

Selama beberapa tahun kebelakangan ini, kebanyakan ritual di luar berlangsung ketika cuaca panas.

Selain Mesir, kematian juga disahkan oleh Jordan, Indonesia, Iran, Senegal, Tunisia dan wilayah autonomi Kurdistan Iraq, walaupun dalam banyak kes, pihak berkuasa tidak menyatakan puncanya.

Seorang diplomat Arab kedua pada Rabu memberitahu AFP bahawa pegawai Jordan sedang mencari 20 jemaah haji yang hilang, walaupun 80 yang lain yang pada mulanya dilaporkan hilang didapati berada di hospital.

Seorang diplomat dari negara Asia memberitahu AFP terdapat "kira-kira 68 jemaah mati" dari India dan yang lain, hilang.

"Ada yang (meninggal dunia) kerana sebab semula jadi dan kami mempunyai ramai jemaah haji tua. Dan ada yang berpunca daripada keadaan cuaca, itu yang kami anggap," katanya.

Arab Saudi tidak memberikan maklumat mengenai kematian, walaupun ia melaporkan lebih daripada 2,700 kes "keletihan haba" pada Ahad sahaja.

Tahun lalu, lebih 200 jemaah haji dilaporkan meninggal dunia, kebanyakannya dari Indonesia.

Setiap tahun, puluhan ribu jemaah cuba menunaikan haji melalui saluran yang tidak rasmi kerana mereka tidak mampu membayar permit haji.

Ini menjadi lebih mudah sejak 2019 apabila Arab Saudi memperkenalkan visa pelancongan am, kata Umer Karim, pakar politik Arab Saudi di Universiti Birmingham.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2024 @ 8:16 AM