Kanak-kanak Palestin yang mengalami kekurangan zat makanan atau penyakit kronik seperti kanser, menunggu bersama ahli keluarga di hospital Nasser di Khan Yunis di selatan Semenanjung Gaza pada 24 Jun 2024. FOTO Bashar TALEB /AFP
Kanak-kanak Palestin yang mengalami kekurangan zat makanan atau penyakit kronik seperti kanser, menunggu bersama ahli keluarga di hospital Nasser di Khan Yunis di selatan Semenanjung Gaza pada 24 Jun 2024. FOTO Bashar TALEB /AFP
Bernama-Anadolu

Istanbul: Lebih 20,000 kanak-kanak Palestin hilang di Gaza akibat serangan Israel ke atas wilayah terkepung itu sejak 7 Oktober lalu, lapor Agensi Anadolu memetik pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Save the Children.

Dalam satu kenyataan pada Isnin, Save the Children memaklumkan kanak-kanak itu sama ada terperangkap di bawah runtuhan, ditahan, dikebumikan dalam kubur tidak bertanda atau terpisah daripada keluarga mereka.

Badan kebajikan yang berpangkalan di UK itu berkata adalah "hampir mustahil" untuk mengumpul dan mengesahkan maklumat di bawah keadaan semasa di Gaza, di mana Israel meneruskan serangan darat dan udaranya tanpa henti.

Sekurang-kurangnya 17,000 kanak-kanak dipercayai tidak ditemani dan terpisah serta kira-kira 4,000 lagi dipercayai hilang di bawah runtuhan dengan jumlah yang tidak diketahui juga berada di kubur besar.

"Yang lain telah diculik secara paksa, termasuk bilangan yang tidak diketahui ditahan dan dipindahkan secara paksa keluar dari Gaza dengan nasib mereka berada tidak diketahui oleh keluarga mereka di tengah-tengah laporan mengenai layanan buruk dan penyeksaan.

"Keluarga diseksa oleh ketidakpastian mengenai lokasi orang tersayang mereka. Tiada ibu bapa yang sepatutnya perlu menggali runtuhan atau kubur besar untuk cuba mencari mayat anak mereka. Tiada kanak-kanak yang sepatutnya berseorangan, tidak dilindungi di zon perang. Tiada kanak-kanak yang sepatutnya ditahan atau dijadikan tebusan," kata Pengarah Serantau Save the Children untuk Asia Barat Jeremy Stoner.

Israel telah membunuh lebih 37,000 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak sejak konflik tercetus 7 Oktober lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2024 @ 9:50 PM