Penyokong Narendra Modi meraikan kejayaan awal BJP di Varanasi, Uttar Pradesh. - FOTO AFP
Penyokong Narendra Modi meraikan kejayaan awal BJP di Varanasi, Uttar Pradesh. - FOTO AFP
BERNAMA

New Delhi: Blok pembangkang India memberikan tentangan yang lebih baik daripada jangkaan dalam pilihan raya parlimen tetapi parti Perdana Menteri Narendra Modi mendahului jumlah kerusi, menurut trend pengiraan undi sekitar tengah hari tadi.

Kira-kira 642 juta undi bagi tempoh antara 19 April dan 1 Jun kini dalam proses pengiraan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya bermula pada pagi Selasa.

Parti Bharatiya Janata (BJP) mendahului di 233 kerusi, diikuti Kongres Kebangsaan India memperoleh kemenangan di 100 kawasan, Parti Samajwadi meraih 36 kerusi, Kongres Trinamool Seluruh India (AITC) di 32 kerusi dan Dravida Munnetra Kazhagam (DMK) memperoleh 21 kawasan.

Keputusan itu berdasarkan kiraan pada tengah hari untuk semua 543 kerusi yang diadakan pilihan raya.

Sebuah parti memerlukan sekurang-kurangnya 272 kerusi untuk memperoleh majoriti mudah di Lok Sabha, dewan rendah parlimen.

Parti Kongres, Samajwadi dan DMK adalah sebahagian daripada Perikatan Inklusif Pembangunan Nasional India (INDIA), yang merangkumi lebih daripada dua dozen parti bergabung untuk menggulingkan BJP daripada berkuasa.

Prestasi blok INDIA itu jauh lebih baik daripada kaji selidik oleh pelbagai syarikat media India dan tinjauan pendapat yang dicadangkan.

Di Uttar Pradesh, yang menyumbang 80 kerusi dewan rakyat, prestasi pembangkang sangat mengagumkan.

Tokoh pembangkang utama Rahul Gandhi, bertanding di dua kawasan pilihan raya iaitu di Raebareli di Uttar Pradesh dan Wayanad di Kerala.

Modi mendahului pesaingnya dari parti Kongres, Ajay Rai, di kawasan Varanasi.

Menteri persekutuan Smriti Irani yang bertanding di Amethi mengekori Kishori Lal Sharma dari Kongres.

Akhilesh Yadav bertanding di Kannauj, manakala isterinya di kawasan Mainpuri.

BJP berada di hadapan di semua tujuh kawasan di ibu negara Delhi dan kelihatan bersedia untuk mencatat kemenangan hampir keseluruhan di negeri Gujarat, Madhya Pradesh dan Chhattisgarh.

DMK menguasai Tamil Nadu dan AITC mendahului parti lain di Bengal Barat.

Saham India menjunam kerana trend pengiraan bertentangan dengan jangkaan kemenangan besar bagi Modi seperti yang diramalkan oleh kebanyakan tinjauan pendapat pada Sabtu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Jun 2024 @ 4:52 PM