ANGGOTA polis wanita berkumpul di luar Uttar Pradesh sebelum demonstrasi.
ANGGOTA polis wanita berkumpul di luar Uttar Pradesh sebelum demonstrasi.
Reuters

LUCKNOW: Kerajaan negeri Uttar Pradesh di utara India menuntut jutaan rupee daripada lebih 200 orang malah mengancam merampas harta mereka sebagai pampasan untuk kerosakan terhadap harta benda awam sepanjang protes terhadap undang-undang kewarganegaraan baru negara itu.

Uttar Pradesh, negeri paling ramai penduduk di India, melihat bantahan paling ganas terhadap Akta Pindaan Kewarganegaraan negara itu yang memudahkan proses kerakyatan untuk golongan minoriti agama dari tiga negara jiran, namun mengecualikan orang Islam.

Sekurang-kurangnya 15 daripada 21 orang yang terbunuh dalam protes berkenaan maut di Uttar Pradesh, negeri yang sudah lama melihat ketegangan antara masyarakat beragama Hindu serta Islam.

Sekurang-kurangnya 230 tuntutan dikeluarkan oleh kerajaan negeri dan kebanyakan penerimanya beragama Islam, kata pegawai kerajaan yang menambah, tuntutan berkenaan dipercayai mencecah puluhan juta rupee.

Tidak jelas berapa ramai yang didakwa atas tuduhan merusuh atau jenayah lain, dan tiada sesiapa disabitkan setakat ini. Kerajaan negeri mempersalahkan kumpulan Muslim yang memprotes terhadap undang-undang baru itu.

Penduduk pekan Rampur, Mohammad Faheem berkata, keluarganya antara penerima notis berkenaan, susulan abang iparnya Mohammad Mehmood kini berada dalam tahanan.

“Mehmood tidak terbabit langsung dengan protes malah berada di rumah pada hari berkenaan, tetapi dia tetap ditahan polis,” katanya kepada Reuters.

Menurutnya, Mehmood mencari rezeki dengan menjaja rempah dan tidak mampu melantik peguam sekalipun untuk mendapatkan jaminan, seterusnya tidak mungkin dapat membayar denda dikenakan.

Jurucakap kerajaan Uttar Pradesh, Mrityunjay Kumar berkata, pihak berkuasa mematuhi prosedur undang-undang dalam menilai kerosakan harta benda awam dan mengeluarkan notis berkenaan.

Bagaimanapun, pengkritik menganggap tindakan itu sebagai pramatang.

Bekas ketua polis Uttar Pradesh, Vikram Singh berkata: “Mana boleh bertindak sebagai pengadu dan hakim serentak. Lembaga berwibawa patut dilantik untuk menilai kerosakan.”

Ratusan ribu orang di seluruh India, termasuk pelajar universiti, membantah terhadap undang-undang itu seterusnya mengakibatkan cabaran terbesar bagi Perdana Menteri Narendra Modi sejak pelantikannya pada 2014.

Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Modi mengawal kerajaan negeri Uttar Pradesh, dan Ketua Menterinya Yogi Adityanath antara yang anggota yang paling dihormati.

Pelajar turut menerajui bantahan di beberapa negeri dengan menggunakan media sosial selain mengajar orang ramai cara menganjurkan demonstrasi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Disember 2019 @ 8:41 PM