Kepulan asap meletus di jalan raya di Nuseirat di tengah Semenanjung Gaza pada 17 April 2024. Foto AFP
Kepulan asap meletus di jalan raya di Nuseirat di tengah Semenanjung Gaza pada 17 April 2024. Foto AFP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menggesa siasatan dijalankan terhadap semua jenayah yang dilakukan rejim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin.

OIC berkata ia bimbang dengan kempen penahanan sewenang-wenangnya yang giat dijalankan oleh rejim itu di wilayah Palestin yang diduduki, yang membawa kepada peningkatan jumlah tahanan kepada lebih 9,500, termasuk 80 tahanan wanita dan lebih 200 kanak-kanak.

Lebih daripada 3,600 adalah tahanan pentadbiran tanpa dakwaan atau perbicaraan dan kira-kira 600 banduan sedang menjalani hukuman penjara seumur hidup, menurut OIC dalam satu kenyataan sempena Hari Memperingati Tahanan Palestin pada Rabu.

Ia juga memperbaharui kecamannya terhadap amalan pendudukan Israel, sambil menambah bahawa 16 tahanan Palestin telah mati di penjara Israel sejak 7 Oktober tahun lalu selain kematian 27 tahanan lain dari Semenanjung Gaza akibat penyeksaan dan pengabaian perubatan.

Dalam mengulangi solidariti dan sokongannya terhadap hak tahanan Palestin, OIC telah menyeru masyarakat antarabangsa dan institusi hak asasi manusia yang kompeten untuk memaksa rejim Israel melayani tahanan Palestin mengikut Konvensyen Geneva, undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan semua peruntukan konvensyen antarabangsa yang berkaitan.

Ia menegaskan bahawa hukuman dan penyalahgunaan yang ditanggung oleh tahanan Palestin di penjara Israel adalah pelanggaran terang-terangan terhadap semua undang-undang kemanusiaan antarabangsa termasuk Piagam Hak Asasi Manusia, Peraturan Minimum Standard Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Rawatan Banduan dan instrumen antarabangsa lain yang berkaitan.

Hari Memperingati Tahanan Palestin disambut setiap tahun pada 17 April didedikasikan untuk kebebasan tahanan Palestin dan menyokong hak mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2024 @ 5:58 PM