FOTO AFP.
FOTO AFP.
BERNAMA

Pattani: Dua lelaki mati dalam insiden berbalas tembakan dengan polis Thailand di kawasan Tungyangsaen, Pattani di wilayah selatan Thailand, semalam.

Ketua Polis Tungyangsaen, Kol. Pol Alam Mekharat berkata, selepas mendapat maklumat risikan bahawa terdapat anggota kumpulan bersenjata bersembunyi di Nat Khamis, lebih 100 anggota polis dari Pasukan Operasi Khas Wilayah Pattani telah mengepung rumah terbabit.

"Usaha berunding dan memujuk mereka menyerah diri telah dilakukan namun suspek tetap melepaskan tembakan ke arah polis," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Alam berkata, dalam kejadian yang berlaku 5 petang dan berlarutan sehingga 9 malam itu, polis telah berbalas tembakan dengan kedua suspek.

"Sehingga tiada lagi tembakan dari kedua-dua individu itu, polis cuba memasuki rumah tersebut dan menemui dua mayat lelaki bersama senjata api di bahagian hadapan rumah," katanya.

Beliau berkata selepas menggeledah rumah berkenaan, polis turut menemui dua laras M16, selaras AK-47 dan dua pistol jenis .38 mm dan .9 mm.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2024 @ 9:58 PM