UMAT Islam menunaikan solat di perkarangan Masjid Al-Aqsa pada Jumaat lalu. FOTO Reuters
UMAT Islam menunaikan solat di perkarangan Masjid Al-Aqsa pada Jumaat lalu. FOTO Reuters
Agensi

Gaza: Masih belum ada tanda perang Israel ke atas Palestin bakal berakhir biarpun Ramadan tiba ke penghujungnya, beberapa hari lagi.

Memetik laporan Al Jazeera, namun begitu rakyat Palestin tetap bersemangat meneruskan puasa dan melakukan solat di tengah-tengah perang yang sudah memasuki tempoh enam bulan.

Jumaat lalu, kira-kira 120,000 orang turun ke perkarangan Masjid Al-Aqsa bagi menunaikan solat yang mana ketika itu diperkirakan sebagai malam Lailatul Qadar.

Ia dianggap sebagai malam paling suci Ramadan, yang memperingati saat al-Quran pertama kali diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW.

Namun, berlaku insiden kecil antara jemaah dan polis Israel yang mengawal pintu masuk ke masjid itu.

Adli al-Agha, 53, dari Baitulmaqdis berkata, ramai orang terpaksa meninggalkan solat Subuh selepas polis Israel menerbangkan dron mini yang menyembur gas pemedih mata untuk menyuraikan jemaah.

"Ia adalah malam di mana umat Islam percaya doa mereka kemungkinan besar akan dimakbulkan. Manakala, kanak-kanak berjaga hingga larut malam dan kedai-kedai dibuka.

"Tetapi ramai rakyat Palestin tidak berada dalam 'mood' untuk meraikan dan berdoa supaya perang di Gaza berakhir selepas hampir enam bulan pertumpahan darah," katanya seperti dilaporkan Al Jazeera.

Sameeha al-Qadi, 55, yang datang dari Bethlehem berkata, Baitulmaqdis berada dalam keadaan sedih dan hilang cahayanya.

."Kini, tiada apa-apa yang manis mengenai perayaan tahun ini. Orang ramai tidak meraikannya," katanya.

Di Rafah, di selatan Semenanjung Gaza, rakyat Palestin berkumpul pada malam Lailatul Qadar berdoa di dalam dan di luar khemah yang mereka bina berhampiran runtuhan Masjid al-Faruq akibat serangan udara tentera Israel.

Orang ramai juga berkumpul untuk berdoa di dalam bahagian Masjid Besar Omari di Bandar Gaza.

Masjid dikenali sebagai Masjid Agung Gaza, masjid terbesar dan tertua di wilayah itu dimusnahkan oleh pengeboman tentera Israel.

Walaupun musnah, masjid itu tetap menjadi tempat kegemaran penduduk di wilayah itu untuk berhimpun untuk bersolat.

Penduduk Palestin yang sudah hampir enam bulan berpindah dari rumah mereka di Gaza akibat serangan Israel, menyambut Ramadan di khemah sementara, dalam keadaan terhad dan keadaan yang sukar.

Ramai yang menghabiskan hari-hari terakhir membaca al-Quran atau menghias khemah mereka untuk hari raya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 April 2024 @ 2:55 PM