PENDUDUK Palestin menziarahi perkarangan Masjid al-Aqsa. FOTO fail AFP
PENDUDUK Palestin menziarahi perkarangan Masjid al-Aqsa. FOTO fail AFP
Agensi

Baitulmaqdis: Pelancong termasuk individu Yahudi dilarang memasuki pekarangan Masjid al-Aqsa sehingga akhir Ramadan, kata Pejabat Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu, pada Selasa.

The National News melaporkan, larangan itu dikeluarkan berikutan saranan oleh Menteri Pertahanan, Ketua Turus Angkatan Pertahanan Israel, Ketua Shin Bet dan Pesuruhjaya Polis.

Ia susulan pertemuan antara Netanyahu bersama Menteri Pertahanan Yoav Gallant, Menteri Keselamatan Negara Itamar Ben-Gvir dan pegawai kanan.

Jumlah kunjungan orang Yahudi ke kompleks masjid itu meningkat beberapa tahun kebelakangan ini, mencetuskan kemarahan kerana segelintir mereka dilihat turut berdoa di masjid berkenaan.

Pada minggu lalu, puluhan orang Yahudi berkunjung ke masjid berkenaan sehingga mencetuskan ketegangan yang menyebabkan berlaku pertempuran di Baitulmaqdis.

Ben-Gvir menyifatkan tindakan itu sebagai kesilapan serius yang memburukkan lagi keadaan.

Serbuan polis Israel pada minggu lalu mencetuskan serangan roket terhadap Israel dari Gaza, Lubnan dan Syria.

Tentera Israel membalas serangan itu.

Tahun-tahun sebelum ini, Israel melarang pelawat Yahudi memasuki perkarangan Masjid al-Aqsa, pada 10 hari terakhir Ramadan.

Orang Yahudi dibenarkan melawat masjid itu tetapi tidak dibenarkan solat seperti perjanjian sekian lama antara kedua pihak.

Sepanjang 10 hari terakhir Ramadan, umat Islam menunaikan solat dan beriktikaf di Masjid Al-Aqsa.

Kecaman dunia memuncak selepas keganasan antara polis dan rakyat Palestin di masjid berkenaan, semasa bulan Ramadan dan perayaan Yahudi, Passover atau Paskah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 April 2023 @ 11:31 AM