PARAMEDIC dilihat mengangkat mayat lelaki yang maut selepas terjatuh dari belon udara panas. FOTO Agensi
PARAMEDIC dilihat mengangkat mayat lelaki yang maut selepas terjatuh dari belon udara panas. FOTO Agensi
Bernama-Dpa

Sydney: Seorang lelaki maut selepas terjatuh dari belon udara panas ketika melalui bandar Melbourne di Australia pada Isnin, agensi berita Jerman (dpa) memetik laporan media tempatan.

Kemalangan itu berlaku pada waktu pagi sejurus belon udara panas itu berlepas, lapor media tempatan termasuk agensi berita Australia AAP.

Mayat lelaki itu ditemui di kawasan perumahan di pinggir bandar utara Melbourne.

Polis memasang pita keselamatan kawasan itu dan mengambil keterangan individu yang menaiki belon sama serta saksi untuk menjelaskan keadaan kejadian.

Kematian itu tidak dianggap sebagai mencurigakan, kata AAP memetik polis.

Belon udara panas itu kemudiannya selamat mendarat di sebuah taman.

Menurut laporan media, juruterbang dan penumpang yang terkejut ditawarkan sokongan psikologi.

"Bakul belon udara panas direka bentuk dengan mengambil kira keselamatan, khususnya untuk mengelakkan penumpang daripada terjatuh secara sengaja atau tidak sengaja," media tempatan memetik kenyataan bersama oleh Industri Belon Udara Panas Komersial Kebangsaan dan Persekutuan Belon Australia.

Difahamkan, penumpang dan juruterbang trauma dengan tragedi itu.

AAP melaporkan bahawa WorkSafe, Biro Keselamatan Pengangkutan Australia dan Pihak Berkuasa Keselamatan Penerbangan Awam sedang menyiasat kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mac 2024 @ 3:21 PM