NUR Izzati Khairudin (kanan) bersama adiknya, Nur Atiqah melakukan penerbangan belon panas ketika berada di Sepanyol.
NUR Izzati Khairudin (kanan) bersama adiknya, Nur Atiqah melakukan penerbangan belon panas ketika berada di Sepanyol.
Rudy Syareme Sheriffudin


Mengemudi belon udara panas dan terbang di udara bukannya tugas mudah kerana memerlukan kemahiran tinggi, apatah lagi pengemudinya seorang wanita.

Itulah kemahiran dimiliki dua beradik, Nur Izzati Khairudin, 29, dan Nur Atiqah, 27, yang memperoleh lesen juruterbang peribadi (PPL) dua tahun lalu.

Sebagai juruterbang wanita pertama negara yang memiliki lesen mengemudi belon udara panas, ia satu pencapaian cukup membanggakan.

Mewarisi legasi arwah bapa mereka, Kapten Khairudin Abdul Rani, kini dua beradik itu menerajui syarikat milik keluarga, AKA Balloon Sdn Bhd.

Gadis manis yang tidak lekang dengan senyuman itu begitu bersemangat menceritakan pengalaman mengemudi belon udara panas ketika menimba pengalaman di Sepanyol sebelum ini.

Nur Izzati berkata, mengemudi belon udara panas perlu memiliki kemahiran tinggi selain mematuhi prosedur ditetapkan ketika proses mengembangkan ‘envelope’ belon udara panas.

Menurutnya, belon udara panas memiliki dua bentuk iaitu biasa dan istimewa. Proses mengembangkan belon pula dikenali sebagai ‘inflation’ dan ia mengambil masa antara 15 hingga 20 minit.

“Kaedah digunakan ialah api dinyalakan pada pembakar menggunakan gas petroleum cecair (LPG) dan dihalakan ke ‘skirt envelope’. Setiap belon udara akan dilengkapi sehingga tiga tong gas LPG seberat 20 kilogram setiap satu serta mampu membekalkan gas untuk sejam penerbangan dan ia diletak dalam bakul.

“Belon udara panas mampu terbang setinggi 60 meter hingga 90 meter dan istimewanya, penumpang dapat menyaksikan panaroma indah yang begitu mempesonakan dari udara,” katanya.

Nur Izzati berkata, syarikatnya turut menyediakan perkhidmatan penerbangan khas dengan bayaran RM850 hingga RM1,150 bagi setiap pakej dipilih pelanggan.

Katanya, pihaknya akan mengadakan pertunjukan belon udara panas sempena Pesta Udara Panas Pulau Pinang 2017 pada 3, 4 dan 5 Februari ini di Padang Polo, Georgetown.

Menurutnya, 16 belon udara panas pelbagai bentuk akan dipertontonkan kepada orang ramai dan pesta kali ketiga itu dijangka menarik kehadiran lebih 90,000 pengunjung dari dalam dan luar negara.

“Pelbagai aktiviti menarik disediakan pada program bermula jam 6 pagi hingga 9 malam. Belon udara panas berbentuk karakter tertentu dari pelbagai negara mengambil bahagian pada program ini.

“Karakter berkenaan ialah ‘Rooster’, ‘Simba’, ‘Yellow Jacket’, ‘Chick’, ‘Happy Chan’, ‘Tako 2nd’, ‘Dexter’, ‘Lubao’, ‘Multicolored’ dan ‘Rising Star’. Ia membabitkan 10 peserta dari Belanda, Belgium, Brazil, Jepun, Filipina, Thailand dan Malaysia.

“Lapan belon udara panas akan digunakan sebagai ujian penerbangan di Nibong Tebal pada 3 Februari ini dan tiga belon udara panas disediakan untuk pengunjung yang ingin merasai pengalaman menaikinya,” katanya.

Festival itu dianjurkan AKA Balloon Sdn Bhd dengan sokongan kerajaan negeri Pulau Pinang, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Penang Global Tourism (PGT) serta TLM Event dan ditaja oleh IJM Land Berhad.

Mengimbas pembabitannya dengan belon udara panas, Nur Izzati berkata, dia berusaha gigih selama tiga tahun sebelum berjaya memiliki lesen sebagai juruterbang belon udara panas pada September 2015.

Malah, dua beradik dari Kuala Lumpur itu muncul anak Melayu pertama di Asia Tenggara memiliki lesen sebagai juruterbang, sekali gus memahat nama mereka serta mengharumkan nama negara di persada dunia.

Katanya, dia mengambil alih legasi perniagaan arwah bapanya yang terbabit dalam sukan belon udara panas.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 January 2017 @ 9:05 AM