Penduduk Palestin yang dipindahkan membawa bekas air ketika keluarga Gaza bergelut dengan pencemaran dan kekurangan air, di tengah-tengah konflik berterusan antara Israel dan Hamas, di kem pelarian Jabalia, di utara Semenanjung Gaza. REUTERS

Bernama-Petra

Amman: Lebih 8,000 kanak-kanak di bawah umur lima tahun di Semenanjung Gaza dirawat kerana kekurangan zat makanan (malnutrisi) akut, termasuk 1,600 dengan kes teruk yang membawa kepada 28 kematian, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lapor Agensi Berita Jordan (Petra).

Semasa sidang media di Geneva pada Rabu, Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus menjelaskan bahawa sebahagian besar penduduk Semenanjung Gaza, yang terjejas teruk akibat konflik dengan Israel, sedang menghadapi tahap kekurangan makanan yang amat kritikal dan keadaan hampir kebuluran.

Beliau menegaskan bahawa walaupun terdapat maklumat yang menunjukkan peningkatan dalam penghantaran makanan, pada masa ini tiada bukti bahawa mereka yang paling memerlukan menerima makanan dalam kuantiti yang mencukupi dan berkualiti.

Serangan berterusan Israel di Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober lalu setakat ini mengakibatkan lebih 37,000 rakyat Palestin terkorban.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2024 @ 4:04 PM