SEORANG wanita yang kehilangan lapan anak serentak sebak melihat jenazah mereka.
SEORANG wanita yang kehilangan lapan anak serentak sebak melihat jenazah mereka.
Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur Diuji kematian seorang daripada darah daging sendiri pun tidak sanggup dilalui setiap orang, apatah lagi hilang lapan nyawa anak serentak.

Hakikatnya, itu keperitan terpaksa ditanggung seorang ibu Palestin apabila lapan anaknya maut selepas khemah perlindungan mereka sekeluarga di kem Al-Maghazi di tengah Gaza, dibedil pesawat tempur Israel pada Isnin lalu.

Lebih menyedihkan dia tiada di sisi anaknya itu ketika kejadian apabila keluar mencari makanan untuk mereka sekeluarga yang kelaparan sejak beberapa hari.

Tragisnya, kepulangan wanita itu disambut dengan jasad lapan anaknya yang 'pergi' dalam kelaparan.

PENDUDUK Palestin memeriksa kerosakan di tapak serangan Israel ke atas rumah, di tengah-tengah konflik berterusan antara Israel dan Hamas di Khan Younis di selatan Semenanjung Gaza. - Gambar  REUTERS/IBRAHEEM ABU MUSTAFA

Dalam satu rakaman video, wanita itu dilihat tidak dapat menahan kesedihan kehilangan anaknya serentak dalam satu malam sambil ditenangkan suaminya.

Wanita itu berkata, lapan daripada 11 anaknya terbunuh bersama 47 penghuni lain ketika mereka sedang tidur.

Katanya, kesemua anaknya yang maut itu adalah lima perempuan dan tiga lelaki.

"Mereka itu itu cumalah kanak-kanak dan seorang kakaknya sekolah menengah.

"Mereka tidur dalam kelaparan, kami cuba mencari mereka roti, tetapi mereka dibunuh," katanya yang dilihat hampir rebah.

WANITA berkenaan tak dapat mengawal kesedihan kehilangan lapan anak serentak dalam serangan kejam tentera Zionis.
WANITA berkenaan tak dapat mengawal kesedihan kehilangan lapan anak serentak dalam serangan kejam tentera Zionis.

Wanita itu turut berdoa supaya nyawanya turut ditarik supaya dia dapat bersama anaknya yang terkorban.

"Aku impikan anakku mati syahid. Sekarang aku melihat mereka pergi.

"Redakanlah aku ya Allah, bawalah aku bersama mereka sebagai mati syahid dan letakkan kami di syurga tertinggimu," katanya.

Setakat kelmarin, angka korban di Gaza terus meningkat kepada 18,412, manakala mereka yang cedera mencecah 50,100 orang.

KEROSAKAN kediaman penduduk Gaza selepas dibom tentera Israel.
KEROSAKAN kediaman penduduk Gaza selepas dibom tentera Israel.

Daripada jumlah itu, lebih 70 peratus mangsa adalah kalangan kanak-kanak dan wanita iaitu masing-masing 8,000 dan 6,200 menjadikan Gaza tempat paling tidak selamat di dunia.

Sebelum ini, Menteri Luar Palestin Riyad Al-Maliki dilaporkan berkata, Gaza berada diambang kempen pembunuhan beramai-ramai Israel dengan seorang kanak-kanak Palestin dibunuh setiap enam minit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Disember 2023 @ 6:30 AM