FOTO Komeng atau nama sebenarnya Alfiansyah Bustami. FOTO Beritasatu
FOTO Komeng atau nama sebenarnya Alfiansyah Bustami. FOTO Beritasatu
Agensi

Jakarta: Pelawak, Alfiansyah Bustami, lebih dikenali sebagai Komeng, memperoleh lebih 1.5 juta undian dalam kiraan awal pilihan raya umum Indonesia pada 14 Februari lalu.

Kejayaannya itu boleh dikaitkan dengan gaya bijak dan lucu yang dirakamkan menerusi gambarnya pada kertas undi, yang menceriakan pengundi.

Ekspresi lucunya, yang menampilkan mata yang terbuka luas, kening terangkat dan mulut terbuka, terbukti berkesan dalam menyerlahkannya berbanding calon lain.

"Sebaik sahaja saya membuka kertas undi, gambar Komeng serta-merta menarik perhatian saya.

"Saya mengundinya tanpa teragak-agak," kata Djaka, seorang penduduk Jawa Barat kepada Jakarta Globe.

Komeng, 53, berkata, dia sebelum ini berunding dengan pejabat wilayah bagi Suruhanjaya Pilihan Raya (KPU) mengenai gambar uniknya sebelum mendapat kebenaran untuk menggunakan gambar berkenaan.

Bagaimanapun katanya, proses menukar namanya kepada Alfiansyah Komeng pada kertas undi memerlukan kelulusan mahkamah.

"Saya mengekalkan nama kelahiran Alfiansyah atas sebab strategik dan memastikan nama asal saya tertera di baris atas kertas undi mengikut susunan abjad.

"Setiap baris mempunyai 11 gambar dan terdapat 53 calon yang bertanding (untuk kerusi Senat mewakili Jawa Bara).

"Jika terpilih, saya berikrar mencadangkan Hari Komedi, Kesenian dan Kebudayaan Kebangsaan," katanya.

Komeng, sering tampil dalam rancangan televisyen selama beberapa dekad, bakal menjadi senator dari Jawa Barat, wilayah paling ramai penduduk di Indonesia dengan memperoleh jumlah undian yang memecahkan rekod.

Malah, beliau mengatasi semua parti politik yang berebut kerusi di Dewan Perwakilan Rakyat.

Parti Golkar yang memimpin di Jawa Barat mengikut pengiraan rasmi sementara, memperoleh 1.2 juta undi setakat ini.

Hebatnya, undian diperoleh Komeng juga mengatasi calon presiden Ganjar Pranowo, yang menerima 1.4 juta undi di wilayah itu mengikut pengiraan rasmi, setakat Sabtu lalu.

Kiraan rasmi KPU setakat ini hanya meliputi 52 peratus jumlah undi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Februari 2024 @ 12:18 PM