GANDINGAN Prabowo dan Gibran hampir pasti menang selepas muncul sebagai pendahulu berdasarkan kiraan pantas atau quick count dengan memperoleh lebih 50 peratus.
GANDINGAN Prabowo dan Gibran hampir pasti menang selepas muncul sebagai pendahulu berdasarkan kiraan pantas atau quick count dengan memperoleh lebih 50 peratus.
Oleh Syah Rul Aswari Abdullah


Prabowo Subianto, 72, hampir pasti dilantik sebagai Presiden baharu Indonesia. Ia selepas keputusan awal tidak rasmi pada Rabu lalu menunjukkan beliau menang pilihan raya presiden negara itu.

Beliau muncul sebagai pendahulu berdasarkan kiraan pantas atau quick count dengan memperoleh lebih 50 peratus undi. Menurut Bernama, keputusan itu selari dengan ramalan banyak analisis bahawa menteri pertahanan itu dan gandingannya, Gibran Rakabumi Raka, Datuk Bandar Solo di Jawa Tengah, yang juga anak kepada Presiden Joko Widodo (Jokowi) boleh menang dalam satu pusingan.

Untuk menang pada satu pusingan, calon presiden mesti memperoleh lebih 50 peratus undi. Jika tidak, calon perlu bertanding pada pusingan kedua.

Litbang Kompas menunjukkan bahawa Prabowo mendapat 58.73 peratus undi, manakala dua lagi pesaingnya, Anies Baswedan (25.10 peratus undi) dan Ganjar Pranowo (16.17 peratus undi), berdasarkan 88.45 peratus sampel di pusat-pusat pengundian.

Menurut Poltracking pula, Prabowo mendapat 59.35 peratus undi, Anies (24.37 peratus), sementara Ganjar pada 16.28 peratus, berdasarkan kiraan 95.67 peratus undi contoh.

Keputusan kiraan pantas daripada badan penyelidikan yang berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya Umum Indonesia (KPU) itu adalah tidak rasmi, tetapi dijangka selari dengan kiraan rasmi KPU yang dijangka diumumkan seawal-awalnya pada 20 Mac depan.

Kiraan pantas kumpulan pengundian yang diluluskan kerajaan itu juga digunakan calon presiden apabila mengumumkan kemenangan pada pilihan raya sebelum ini.

Menariknya, Prabowo menang pada percubaan kali ketiga. Sebelum ini, beliau tewas pada kepada Jokowi pada dua pilihan raya presiden pada 2014 dan 2019.

Prabowo juga bukanlah nama baharu dalam landskap politik Indonesia. Beliau berasal daripada keluarga yang berpengaruh dengan bapanya, Prof Sumitro Djojohadikusumo, adalah seorang ahli ekonomi dan ahli politik terkenal kerana memegang tiga jawatan menteri yang berbeza di bawah dua presiden, Sukarno dan Suharto.

Beliau juga pernah terpalit dengan kontroversi apabila dipecat daripada tentera pada 1998 atas tuduhan mengarahkan penculikan aktivis demokrasi pada akhir pemerintahan Presiden Suharto. Tetapi beliau menafikan dakwaan itu dan tidak pernah didakwa.

Sejak itu, beliau memulihkan reputasinya, sebahagiannya hasil daripada kempen di media sosial dengan menyasarkan remaja Indonesia yang menggambarkannya sebagai 'datuk'.

Strategi digunakan ini ternyata membuahkan hasil, dan bekas jeneral itu mengakui undian belia membantunya menang di negara yang mana golongan milenial dan Gen-Z membentuk lebih separuh daripada pengundi pada pilihan raya kali ini.

Latar belakang dalam bidang tentera juga dikatakan menjadi faktor yang menyumbang kepada kejayaannya. Prabowo suka menayangkan imej 'orang yang kuat' selaras kedudukannya seorang jeneral tentera bersara dan jawatannya kini sebagai Menteri Pertahanan.

Bagi golongan muda Indonesia, imej ini membayangkan bahawa bekas jeneral itu adalah seorang yang tegas apabila menjadi pemimpin nombor satu di negara ekonomi terbesar di Asia Tenggara itu.

Selain itu, strateginya yang memilih anak Jokowi yang berusia 36 tahun sebagai regunya ternyata menyumbang kepada faktor penentu undi. Dengan kemenangan ini, Gibran bakal melakar sejarah menjadi naib presiden termuda dalam sejarah Indonesia.

Beberapa pemerhati sebelum ini menuduh Jokowi menggunakan dana kerajaan secara tidak wajar untuk menyokong Prabowo, yang disifatkan Presiden itu sebagai tuduhan tidak wajar.

Jokowi juga pernah digesa untuk bersikap neutral, namun beliau kemudian berkata, tindakan Presiden atau Naib Presiden menunjukkan sokongan kepada mana-mana calon dalam pilihan raya presiden tidak bertentangan dengan undang-undang.

Untuk rekod, selepas keputusan rasmi yang dijangka diumumkan pada 20 Mac ini, calon presiden yang diisytiharkan menang akan mengangkat sumpah sebagai presiden pada Oktober depan.

Penulis Penolong Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Februari 2024 @ 7:00 AM