PENYOKONG berkumpul di luar rumah Prabowo, Rabu lalu. FOTO AFP
PENYOKONG berkumpul di luar rumah Prabowo, Rabu lalu. FOTO AFP
Agensi

Jakarta: Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) memberi isyarat kemungkinan mengambil peranan pembangkang dalam kerajaan selepas pengiraan awal menunjukkan calon presiden dari parti pesaing mereka lebih mendahului, lapor Jakarta Globe.

Keputusan pengiraan awal (quick count) daripada semua peninjau utama dalam setiap persampelan daripada 2,000 pusat mengundi menunjukkan, Prabowo Subianto berkemungkinan memperolehi jawatan presiden dengan 57 hingga 59 peratus undi.

Calon PDI-P, Ganjar Pranowo, pula menduduki tempat terakhir dalam kalangan tiga calon selepas hanya menerima 16 hingga 18 peratus undi.

Ketika ini, proses penjumlahan undi sedang dijalankan Suruhanjaya Pilihan Raya Umum (KPU) dengan keputusan rasmi dijangka diumumkan KPU sebelum 20 Mac ini.

Bagaimanapun, kiraan pantas itu dijangka selari dengan keputusan sebenar seperti dalam pilihan raya presiden terdahulu.

Setiausaha Agung PDI-P Hasto Kristiyanto berkata, parti itu mungkin tidak berada dalam kerajaan, jika Prabowo disahkan terpilih sebagai presiden.

"Berdasarkan pengalaman PDI-P, kami mengecualikan diri kami daripada kerajaan pada 2004 dan 2009," kata Hasto kepada media di sini, semalam.

Beliau merujuk kepada kekalahan Pengerusi PDI-P Megawati Soekarnoputri di tangan Susilo Bambang Yudhoyono dalam pilihan raya presiden.

Bagaimanapun, Hasto mengelak daripada menggunakan istilah pembangkang dengan alasan ia tidak diiktiraf dalam sistem tadbir urus Indonesia.

"Apabila kita berada di luar kerajaan, kita akan terus menyokong dasar prorakyat, tetapi kita akan menentang dasar berbahaya seperti import beras yang merugikan petani kita," katanya.

Menurutnya, PDI-P belum memutuskan pendirian politiknya terhadap calon presiden Prabowo sehingga pengiraan undi rasmi selesai.

PDI-P kekal sebagai parti terbesar, apabila memperoleh 16 hingga 18 peratus undi popular pada pilihan raya Rabu lalu, menurut pengiraan awal dan pengiraan pantas KPU oleh agensi bebas.

Bagaimanapun, bahagian parti pemerintah dijangka menurun kira-kira tiga mata peratusan daripada kedudukan semasa.

Parti itu juga mempunyai paling ramai wakil dalam Kabinet yang diketuai Presiden Joko Widodo atau Jokowi .

Presiden Jokowi sendiri sebelum ini dikenali sebagai orang tertinggi PDI-P, mendapatkan sokongan parti untuk menjadi Datuk Bandar Solo, Gabenor Jakarta dan untuk dua penggal sebagai presiden.

Perpecahan antara presiden dan PDI-P mula tercetus selepas anaknya, Gibran Rakabuming Raka beralih sebagai pasangan calon bersama Prabowo dalam pilihan raya presiden Rabu lalu.

Gibran, yang kini Datuk Bandar Solo dengan sokongan PDI-P, dicalonkan saingan mereka, Parti Golkar, sebagai calon naib presiden.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Februari 2024 @ 11:21 AM