KEADAAN jerebu di Bangkok pada Khamis. FOTO AFP
KEADAAN jerebu di Bangkok pada Khamis. FOTO AFP
BERNAMA

Bangkok: Bangkok dan 66 wilayah di Thailand itu terus diselubungi jerebu dengan zarah tidak selamat pada PM2.5 direkodkan pada Khamis.

Keadaan bertambah buruk dengan jumlah titik panas akibat pembakaran meningkat kepada 1,712.

Laman sesawang pemantauan udara IQAir meletakkan Bangkok antara senarai 10 bandar paling tercemar di dunia pada Khamis.

Agensi Pembangunan Teknologi Geo-Informatik dan Angkasa (Gistda) mengesan 546 titik panas di hutan terlindung, 506 di hutan simpanan negara, 278 di kawasan pertanian, 195 di kawasan komuniti dan lain-lain, 159 di Tanah Reformasi Pertanian dan 28 di sepanjang lebuh raya.

Wilayah Kanchanaburi mempunyai jumlah titik panas tertinggi iaitu sebanyak 328.

Sementara itu, Perdana Menteri Srettha Thavisin berkata, pembakaran tanaman adalah antara faktor yang menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara.

Beliau mengarahkan Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) mengambil pelbagai langkah termasuk larangan sementara aktiviti pembinaan selain pekerja bekerja dari rumah selama dua hari mulai pada Khamis.

Bagi langkah jangka panjang, beliau berkata bilangan kenderaan bahan api diesel dalam bandar perlu dikurangkan selain menggalakkan penggunaan kenderaan elektrik untuk mengurangkan pelepasan daripada ekzos kenderaan.

Sementara itu, Pengarah Pejabat Ramalan Cuaca Pusat Jabatan Meteorologi Somkuan Tonjan berkata paras PM2.5 yang tinggi Bangkok disebabkan oleh udara bertakung, selain angin tenggara yang sangat ringan, menyebabkan habuk bercampur dengan kelembapan, menurut laporan PBS Thai.

Somkuan berkata peningkatan kawasan panas di Kemboja dan Myanmar turut menyumbang kepada paras PM2.5 yang tinggi.

Data Gistda juga menunjukkan negara jiran Thailand, Kemboja merekodkan 2,591 titik panas, Myanmar 1,844 , Laos 900 manakala Vietnam sebanyak 185 titik panas.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Februari 2024 @ 7:49 AM