PENDUDUK Palestin membuat persiapan menerbangkan layang-layang membawa bom api ke wilayah Israel yang boleh menyebabkan kebakaran hutan, tanaman dan rumah. Foto/Agensi
PENDUDUK Palestin membuat persiapan menerbangkan layang-layang membawa bom api ke wilayah Israel yang boleh menyebabkan kebakaran hutan, tanaman dan rumah. Foto/Agensi
AFP

Baitulmaqdis: Israel memperketat sekatan di Semenanjung Gaza berkaitan isu layang-layang membawa bom api ke wilayahnya yang menimbulkan kebimbangan pemerhati boleh mencetuskan peperangan.

Beberapa hari selepas serangan udara besar-besaran di Gaza serta bedilan kira-kira 200 roket serta mortar Hamas ke wilayah Israel, rejim Zionis menutup laluan keluar masuk ke Gaza, sebaliknya hanya makanan dan ubatan dibenarkan dibawa masuk.

Israel juga memperketat kawasan tangkapan ikan dengan mengurangkannya daripada 11 kilometer kepada hanya 5.6 kilometer.

Minyak dan gas tidak lagi dibenarkan dibawa masuk melalui Kerem Shalom, satu-satunya laluan membawa masuk barangan ke Gaza, mewujudkan tekanan hebat kepada dua juta penduduk Gaza.

Selain ‘serangan layang-layang’ dan berbalas tembakan hujung minggu lalu, bantahan besar-besaran serta pertempuran di sempadan Gaza sejak 30 Mac lalu, sudah menyebabkan puluhan penduduk Palestin mati ditembak tentera Israel.

Satu-satunya pintu sempadan lain di Gaza ialah Rafah yang bersempadan dengan Mesir, turut ditutup mulai kelmarin, atas sebab ‘teknikal’.

Penutupan itu menimbulkan spekulasi Mesir yang menjadi orang tengah rundingan antara Israel dengan Hamas, mahu mewujudkan tekanan kepada Hamas supaya mengekal serangan bom layang-layang itu.

Israel menegaskan akan bertindak balas terhadap serangan ratusan bom layang-layang itu yang diterbangkan penduduk Palestin sejak April.

Perdana Menteri Benjamin Netanyahu yang menghadapi tekanan politik berkaitan isu itu mengarahkan ia dihentikan.

Pembangkang mendesak tentera menembak mereka yang menerbangkan layang-layang itu tetapi dibantah kerana mungkin membabitkan kanak-kanak.Namun, ketika melawat ibu pejabat tentera ketumbukan Gaza, Netanyahu berkata, tentera bersedia menghadapi sebarang keadaan dalam kempen itu yang ‘membolehkan tindakan balas’.

Menurut perkhidmatan bomba Israel, kira-kira 750 kebakaran memusnahkan kira-kira 2,600 hektar tanah dengan kerugian dianggar ratusan ribu dolar akibat bom layang-layang itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Julai 2018 @ 11:55 AM