Jenazah mereka yang terbunuh dalam serangan Israel di Hospital Nasser di Khan Younis, di selatan Semenanjung Gaza pada 23 Disember 2023. FOTO REUTERS
Jenazah mereka yang terbunuh dalam serangan Israel di Hospital Nasser di Khan Younis, di selatan Semenanjung Gaza pada 23 Disember 2023. FOTO REUTERS
AFP

Semenanjung Gaza: Lebih 200 orang terbunuh dalam tempoh 24 jam akibat serangan Israel.

Sebelas minggu selepas perang Israel-Hamas, tentera Israel meneruskan serangan mereka, sehari selepas Majlis Keselamatan Persatuan Bangsa Bangsa bersatu (PBB) menerima pakai resolusi untuk lebih banyak bantuan masuk ke Semenanjung Gaza.

Asap kelabu dan hitam naik ke atas bandar Khan Yunis dan rakaman AFP menunjukkan asap turut kelihatan di utara wilayah pantai.

Kementerian Kesihatan kendalian Hamas di Gaza melaporkan 201 kematian dalam tempoh 24 jam di wilayah itu dan sebanyak 20,258 sejak 7 Oktober lalu yang sebilangan besarnya adalah wanita dan kanak-kanak.

Sehari sebelumnya Majlis Keselamatan PBB meluluskan resolusi menuntut penghantaran bantuan menyelamatkan nyawa ke Gaza 'segera, selamat dan tanpa halangan' namun tetapi ia tidak menyeru untuk menamatkan pertempuran maut.

Ahlinya bertelagah selama berhari-hari dan atas desakan Washington mengurangkan beberapa peruntukan.

Masih tidak jelas apakah, jika ada, kesan undian itu untuk Palestin.

Tetapi bagi penduduk Palestin di bandar Rafah di selatan Gaza, lebih banyak bantuan tidak mencukupi.

"Kami tidak mahu makanan, kami mahu gencatan senjata," kata Mahmud al-Shaer.

Ahmad al-Burawi, yang dipindahkan dari Beit Lahia jauh ke utara, menambah: "Kami hanya mahu kembali ke tanah kami, itu sahaja. Kami mahu penyelesaian untuk menamatkan perang.

"Orang ramai sedang menuju kematian," katanya.

Jurucakap Kementerian kesihatan Gaza, Ashraf al-Qudra berkata, berpuluh-puluh rakyat Palestin dibunuh minggu ini di kem dan bandar Jabalia.

Beliau mengecam pembunuhan beramai-ramai itu.

Ketika dihubungi AFP, tentera Israel tidak mengulas secara langsung mengenai dakwaan itu tetapi berkata ia memastikan bahawa serangannya terhadap sasaran tentera mematuhi peruntukan undang-undang antarabangsa.

Perang itu menyebabkan 1.9 juta orang daripada 2.4 juta penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal.

Mereka kini bergelut untuk mencari makanan, bahan api, air dan tinggal di tempat perlindungan atau khemah yang sesak.

Sembilan daripada 36 hospital di Gaza hanya berfungsi separa, dengan yang lain dihentikan sama sekali, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres yang mendesak untuk gencatan senjata kemanusiaan berkata Israel mencipta halangan besar untuk penghantaran bantuan.

Selepas undian Majlis Keselamatan pada hari Jumaat, Israel menegaskan pertempuran akan berterusan sehingga Hamas "dihapuskan", dengan Menteri Luar Eli Cohen berkata perang itu adalah sah dan adil.

Beliau juga berkata baki 129 tebusan yang ditahan di Gaza mesti dibebaskan.

Warga Israel termasuk rakan dan saudara kepada tawanan berdemonstrasi semula Sabtu di Tel Aviv, menuntut tindakan untuk membebaskan mereka.

Kementerian kesihatan Palestin melaporkan beberapa serangan pada hari Sabtu, termasuk serangan ke atas sebuah rumah di kem pelarian Nuseirat yang mengorbankan 18 rakyat Palestin.

Di Hospital Nasser di Khan Yunis, seorang wanita menangis selepas melihat mayat saudara mara dan seorang lelaki terbongkok menangis di atas mayat dalam beg mayat hitam.

Sekutu Israel, termasuk Amerika Syarikat, menggesa orang awam diselamatkan dalam pertempuran.

Penduduk Gaza dipindahkan berulang kali semasa pertempuran, dan pada hari Jumaat diberitahu oleh Israel untuk mengosongkan pusat Gaza dan bergerak ke selatan ke bandar Deir al-Balah untuk keselamatan mereka sendiri.

Tetapi pegawai PBB berkata mereka masih dibom dan Tedros berkata kebanyakan orang yang dipindahkan sepanjang hari dan malam tanpa makan.

"Kebuluran semakin hampir," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Disember 2023 @ 7:22 AM