MONTASER Al-Sawaf terbunuh dalam serangan udara Israel yang disambung semula pada Jumaat selepas gencatan senjata ditamatkan. FOTO Anadolu
MONTASER Al-Sawaf terbunuh dalam serangan udara Israel yang disambung semula pada Jumaat selepas gencatan senjata ditamatkan. FOTO Anadolu
Agensi

Istanbul: Jurukamera sambilan agensi Anadolu, Montaser Al-Sawaf terbunuh pada Jumaat dalam serangan udara Israel selepas gencatan senjata tamat.

Sepupu wartawan itu, Hassan Ismameh memberitahu Anadolu, Sawaf, abangnya Mervan, dan ahli keluarga lain syahid ketika serangan udara Israel di kejiranan Ed-Durc di selatan Gaza.

Al-Sawaf yang parah dalam pengeboman itu terpaksa menunggu ambulans kira-kira setengah jam, namun akhirnya beliau dibawa ke Hospital Al-Ahli Baptist dengan kenderaan persendirian selepas tiada pasukan perubatan tiba, kata Ismameh.

Al-Sawaf, abangnya dan saudara mara lain yang terbunuh dikebumikan di Tanah Perkuburan al-Batsh di bandar itu.

Sementara itu Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Andolu, Serdar Karagoz dalam kenyataan takziahnya memaklumkan sehingga kini, 71 wartawan sudah terbunuh dalam serangan Israel ke atas Gaza.

"Di Anadolu, kami berjuang untuk memastikan keselamatan rakan sekerja kami yang menjalankan tugas mereka dalam keadaan yang amat sukar di Gaza dengan dedikasi yang tinggi.

"Bagi pihak semua rakan sekerja kami yang terbunuh dalam serangan oleh Israel di Gaza, termasuk pekerja sambilan agensi kami Montaser Al-Sawaf, kami akan meneruskan perjuangan agar mereka yang bertanggungjawab atas serangan ini dan didakwa mengikut undang-undang antarabangsa," katanya.

Karagoz turut mengucapkan takziah dan bersimpati kepada keluarga semua wartawan yang kehilangan nyawa di Gaza.

"Hari ini, bom yang dilancarkan oleh Israel bukan sahaja jatuh ke atas kanak-kanak Palestin, hospital, sekolah, masjid, dan gereja tetapi juga pada nilai Barat, undang-undang antarabangsa, hak asasi manusia, dan segala-galanya yang mewakili kebaikan," katanya.

Tanpa mempedulikan gesaan antarabangsa untuk meneruskan gencatan senjata, tentera Israel mengumumkan pada pagi Jumaat bahawa ia memutuskan untuk meneruskan serangan di Semenanjung Gaza ketika jeda kemanusiaan selama seminggu berakhir.

Jeda kemanusiaan bermula pada 24 November sebagai sebahagian daripada perjanjian antara Israel dan pejuang Hamas untuk menghentikan pertempuran sementara bagi membolehkan pembebasan tebusan dan tawanan di kedua-dua belah pihak, serta penghantaran bantuan.

Lebih 15,000 rakyat Palestin, kebanyakannya kanak-kanak dan wanita, terbunuh dalam serangan Israel sejak 7 Oktober.

Kira-kira 1,200 warga Israel juga terbunuh, menurut anggaran rasmi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Disember 2023 @ 8:09 AM