Wartawan Agensi Anadolu, Montaser Al Sawaf cedera diserang Israel malam tadi. FOTO Facebook Montaser Al Sawaf
Wartawan Agensi Anadolu, Montaser Al Sawaf cedera diserang Israel malam tadi. FOTO Facebook Montaser Al Sawaf
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Tidak sampai 12 jam selepas dua pengamal media terbunuh ketika membuat liputan di selatan Lubnan semalam, rejim Israel menyasarkan pula kawasan kediaman seorang wartawan di Gaza City, Palestin malam tadi.

Montaser Al Sawaf bernasib baik apabila hanya cedera pada bahagian mukanya, namun beberapa ahli keluarganya terkorban dalam serangan itu.

"Lebih 45 orang syahid termasuk ibu, ayah, dua abang saya dan semua anak mereka.

"Saya hanya mengalami cedera pada muka tetapi saya masih belum dapat berjumpa doktor untuk merawat saya kerana tiada hospital beroperasi," katanya dalam satu hantaran di Facebook miliknya, malam tadi.

Montaser yang bertugas untuk Agensi Anadolu berkata, kejadian itu tidak akan melemahkan semangatnya untuk terus melaporkan kekejaman Israel kepada dunia walaupun berdepan pelbagai ancaman.

"Walaupun (berdepan) segala-galanya (termasuk ancaman Israel), kami akan terus melaporkan," katanya.

Terdahulu, wartawan TV Al-Mayadeen, Farah Omar bersama rakan jurugambar, Rabih Al-Maamari terbunuh sebaik saja mereka selesai membuat liputan di kawasan Tayr Harfa di selatan Lubnan, 10 pagi semalam (waktu tempatan).

Beberapa minit sebelum itu, mereka sempat bersiaran langsung dari lokasi kejadian bagi melaporkan pengeboman terkini Israel sebelum pesawat tempur rejim Zionis itu membedil kedua-dua pengamal media itu.

Kematian mereka itu menjadikan angka korban pengamal media meningkat kepada 62 orang sejak konflik itu tercetus pada 7 Oktober lalu menurut data dikeluarkan Pejabat Media Kerajaan Palestin petang semalam.

Sebelum ini, wartawan Hasouna Salim bersama rakannya, Sari Mansour turut terbunuh selepas tentera rejim Zionis membedil kem Bureij di tengah Gaza, malam Sabtu lalu.

Pada sebelah siang, Hasouna sempat turun membuat liputan di kawasan itu dengan berkongsi rakaman bangunan musnah masih terbakar dan berasap selepas dibedil Israel.

Siri serangan ini menunjukkan Israel terdesak menutup kekejaman mereka dengan menyasarkan pengamal media sebagai ancaman supaya tidak melaporkan berita mengenai serangan rejimnya ke atas Semenanjung Gaza.

Minggu lalu, Israel turut menyenaraihitamkan TV Al Mayadeen atas dakwaan laporan mereka menjejaskan kepentingan keselamatan Israel selain membantu matlamat musuh, pejuang Hamas dalam perang itu.

Malah, menurut Forbes, Israel meminta Meta dan TikTok menyingkirkan 8,000 kandungan berkaitan dengan pejuang Hamas di platform media sosial terbabit sejak 7 Oktober lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 November 2023 @ 11:03 AM