PENDUDUK Palestin meraikan pembebasan tahanan rakyat negara itu. FOTO AFP
PENDUDUK Palestin meraikan pembebasan tahanan rakyat negara itu. FOTO AFP
Bernama-Anadolu

Gaza: Hamas pada Ahad mengumumkan berusaha untuk melanjutkan jeda kemanusiaan selama empat hari dengan Israel di Semenanjung Gaza.

Hamas dalam satu kenyataan berkata, pihaknya melakukan usaha serius untuk mendapatkan pembebasan lebih ramai rakyat Palestin yang dalam tahanan rejim zionis walaupun selepas jeda berakhir.

Sumber di Palestin yang tidak mahu dikenali mengesahkan kepada Agensi Anadolu bahawa Hamas sudah memaklumkan kepada pengantara, Qatar dan Mesir mengenai kesediaan mereka untuk melanjutkan gencatan senjata selama dua hingga empat hari.

Dalam tempoh tiga hari pertama jeda, Hamas membebaskan 40 warga Israel dan 18 warga asing, manakala Israel membebaskan 117 warga Palestin.

Jeda kemanusiaan selama empat hari yang diselaras oleh Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat berkuat kuasa pada Jumaat, menghentikan sementara serangan Israel ke atas Semenanjung Gaza.

Sekurang-kurangnya 14,854 rakyat Palestin, termasuk 6,150 kanak-kanak dan lebih 4,000 wanita terbunuh dalam serangan rejim zionis ke atas Gaza sejak 7 Oktober, menurut pihak berkuasa kesihatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 November 2023 @ 10:51 AM