TANAH perkuburan dI Rafah, selatan Gaza. FOTO AFP
TANAH perkuburan dI Rafah, selatan Gaza. FOTO AFP
Agensi

Gaza: Mengambil kesempatan jeda kemanusiaan ketika ini, rakyat Palestin bergegas ke tanah perkuburan untuk menziarahi kubur saudara-mara yang terkorban dalam serangan Israel di Semenanjung Gaza.

Jeda kemanusiaan selama empat hari antara tentera Israel dan kumpulan Palestin Hamas berkuat kuasa mulai pagi Jumaat di semua kawasan di Semenanjung Gaza, menghentikan sementara serangan, untuk pertukaran tahanan dan bantuan.

Agensi Anadolu melaporkan ramai penduduk Palestin melawat tanah perkuburan yang terletak di kejiranan Tel al-Sultan di barat Rafah.

Tanah perkuburan itu berkapasiti untuk 500 jenazah, tetapi 600 jenazah sudah dikebumikan di situ kerana kekangan tanah.

Kelihatan mereka yang kehilangan orang tersayang dalam serangan Israel atau kerana masalah yang timbul daripada sekatan kemasukan ubat dan bahan bakar, tetap tidak berputus asa, menitiskan air mata ketika berdoa.

Munir Labda kehilangan anak lelakinya dalam pengeboman Israel, memberitahu Agensi Anadolu, ia adalah kali pertama dia melawat kubur anaknya yang syahid.

Bapa yang bersedih itu berkata, anaknya mempunyai semangat yang ceria dan menghafal kitab suci al-Quran.

Ali Isa yang kehilangan isterinya dalam serangan zionis Israel juga bercucuran air mata di kubur isterinya.

Ali berkata, dia bergegas menziarahi kubur isterinya itu sebaik mendengar tentang gencatan senjata kemanusiaan.

Menurutnya, dia tidak dapat berbuat demikian semasa perang kerana dia juga cedera susulan serangan Israel.

Di bawah perjanjian mengenai jeda kemanusiaan selama empat hari di Gaza, 50 warga Israel yang ditawan Hamas akan dibebaskan sebagai pertukaran untuk 150 tahanan Palestin di penjara Israel.

Israel melancarkan serangan udara dan darat tanpa henti di Semenanjung Gaza berikutan serangan Hamas pada 7 Oktober.

Israel membunuh lebih 14,854 rakyat Palestin, termasuk 6,150 kanak-kanak dan lebih 4,000 wanita, menurut pihak berkuasa kesihatan di enklaf itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 November 2023 @ 11:25 AM