ANGGOTA Persatuan Bulan Sabit Merahmembantu kanak-kanak Palestin di hospital Nasser. FOTO Reuters
ANGGOTA Persatuan Bulan Sabit Merahmembantu kanak-kanak Palestin di hospital Nasser. FOTO Reuters
Bernama-Anadolu

Ramallah: Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin terputus hubungan dengan pasukan perubatannya di Semenanjung Gaza.

Kenyataan itu dibuat selepas Syarikat Telekomunikasi Palestin (PalTel) berkata, semua perkhidmatan komunikasi dan internet di Semenanjung Gaza telah terputus sepenuhnya.

"Kami terputus sepenuhnya hubungan dengan bilik gerakan dan semua pasukan kami di Semenanjung Gaza berikutan langkah Israel memutuskan khidmat rangkaian telekomunikasi," Agensi Anadolu (AA) memetik kenyataan Bulan Sabit Merah pada Isnin.

Pertubuhan kemanusiaan itu menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatan pasukannya di Gaza daripada serangan Israel.

Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin berkata gangguan komunikasi akan menghalang tugas pasukan kecemasan untuk sampai ke kawasan yang dibom di seluruh Gaza.

Gangguan itu juga menjejaskan keupayaan orang ramai untuk menghubungi perkhidmatan ambulans.

Ini adalah kali keempat perkhidmatan telekomunikasi di seluruh wilayah itu terputus sejak konflik Israel-Hamas bermula pada 7 Oktober.

Israel meneruskan serangan ke atas Semenanjung Gaza pada Jumaat selepas jeda kemanusiaan selama seminggu dengan Hamas tamat.

Sekurang-kurangnya 15,899 rakyat Palestin terbunuh manakala lebih 42,000 lagi cedera dalam serangan udara dan darat Israel.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Disember 2023 @ 2:13 PM