RYUJI Kimura. FOTO Jiji Press / AFP / Japan Out
RYUJI Kimura. FOTO Jiji Press / AFP / Japan Out
Agensi

Tokyo: Pendakwa raya Jepun pada Rabu mendakwa seorang lelaki atas serangan menggunakan bahan letupan yang menyasarkan Perdana Menteri Fumio Kishida semasa acara pilihan raya di barat Jepun, April lalu, lapor Bernama.

Pendakwa raya membuat kesimpulan bahawa suspek sihat dari segi mental untuk bertanggungjawab terhadap sabitan jenayah, lapor Xinhua.

Ryuji Kimura, 24, menghadapi pertuduhan termasuk cubaan membunuh, dengan pihak penyiasat mendapati bahawa bom paip buatan sendiri yang digunakan dalam serangan itu boleh membawa maut.

Dakwaan terhadap Kimura berikutan penilaian psikiatri selama tiga bulan oleh pendakwa raya berakhir pada Jumaat lalu.

Kimura yang berasal dari Hyogo, didakwa melemparkan bahan letupan ke arah Kishida ketika pemimpin itu mahu berucap di bandar Wakayama pada 15 April.

Kishida dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan, namun dua orang pegawai polis cedera ringan.

Dokumen mahkamah menunjukkan bahawa Kimura mungkin menyimpan dendam selepas tidak dapat memfailkan pencalonan bagi pemilihan Dewan Ahli Majlis yang diadakan tahun lalu.

Insiden itu berlaku kurang setahun selepas bekas perdana menteri Shinzo Abe maut ditembak oleh penyerang menggunakan pistol buatan sendiri ketika menyampaikan ucapan di barat Jepun.

Abe, perdana menteri Jepun paling lama berkhidmat dengan memegang jawatan itu bermula 2006 sebelum sekali lagi dipilih pada dari 2012 hingga 2020.

Dia bagaimanapun terpaksa berundur kerana mengalami masalah kesihatan berkaitan usus.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 September 2023 @ 3:43 PM