LELAKI ditahan di lokasi kejadian. FOTO NHK World-Japan / YouTube
LELAKI ditahan di lokasi kejadian. FOTO NHK World-Japan / YouTube
AFP

Tokyo: Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida dipindahkan dari sebuah pelabuhan di Wakayama, pada Sabtu, selepas satu letupan.

Bagaimanapun, beliau tidak mengalami kecederaan dalam insiden itu, lapor media tempatan.

Klip video disiarkan stesen televisyen Jepun menunjukkan kekacauan dalam kalangan khalayak di mana Kishida dijadual berucap, sebelum ada bunyi letupan disusuli asap putih.

Seorang lelaki ditahan di lokasi kejadian di barat Jepun, menurut stesen penyiaran kebangsaan, NHK.

Tiada pengesahan segera berhubung insiden itu, dengan polis tempatan tidak mahu mengulas lanjut.

Klip video NHK menunjukkan pasukan keselamatan dan polis menahan seorang individu ketika orang ramai lari bertempiaran.

"Saya terkejut. Jantung saya berdegup kencang," kata seorang wanita di lokasi kepada penyiar itu.

Seorang lagi saksi memberitahu NHK bahawa orang ramai yang panik mula melarikan diri sebelum letupan itu berlaku, selepas seseorang memberitahu bahawa ada bahan letupan dilontarkan.

Ketika kejadian, Kishida baru saja selesai mencuba ikan di lokasi itu dan dijadual berucap kepada orang ramai sebagai sokongan kepada calon parti pemerintah dalam pilihan raya kecil untuk dewan rendah.

Menurut NHK, individu terbabit ditahan kerana menghalang perniagaan.

Jepun mempertingkat keselamatan selepas pembunuhan bekas perdana menteri Shinzo Abe, yang meninggal dunia selepas ditembak ketika berucap ketika program kempen pada Julai 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 April 2023 @ 12:33 PM