BAYI itu mempunyai fetus kembarnya di dalam perutnya. FOTO Agensi
BAYI itu mempunyai fetus kembarnya di dalam perutnya. FOTO Agensi
Agensi

Islamabad: Doktor di sebuah hospital di bandar Sadiqabad, Pakistan, yang merawat seorang bayi perempuan berusia 10 bulan, baru-baru ini, terkejut apabila mendapati bayi itu mempunyai janin kembar di dalam perutnya.

The Sun UK melaporkan, keganjilan dikenali 'fetus dalam fetus' ditemukan pakar perubatan semasa pembedahan untuk membuang tumor di dalam perut bayi itu.

Tetapi mereka terkejut apabila ketumbuhan yang disangkakan tumor itu sebenarnya adalah janin kembar bayi berkenaan.

Ketua perubatan menjelaskan bayi perempuan itu pada mulanya dimasukkan ke hospital untuk rawatan selepas mengalami sakit perut yang teruk.

Bayi itu menjalani imbasan ultrabunyi dan doktor percaya mereka mengesan kehadiran tumor di dalam pesakit cilik itu.

Ia juga dipercayai bahawa bayi itu mengalami asites, keadaan yang menyakitkan di mana cecair berkumpul di ruang di dalam perut.

Bayi itu dikejarkan ke dewan bedah, di mana pakar bedah kanak-kanak Mushtaq Ahmed bersedia untuk membuang ketumbuhan luar biasa itu.

Mushtaq berkata, apabila pembedahan dimulakan, semuanya kelihatan berjalan seperti yang dijangkakan.

"Selepas dua jam, ketumbuhan di perut bayi itu dikeluarkan. Didapati bahawa tumor itu, sebenarnya (adalah) janin," katanya.

Mushtaq menjelaskan fenomena dikenali sebagai 'fetus dalam fetus' membabitkan perkembangan kembar di mana satu janin tumbuh di dalam badan bayi yang lain.

"Ia berlaku satu dalam sejuta individu. Satu sampel sudah dihantar ke makmal untuk ujian komprehensif selanjutnya.

"Proses ini sebenarnya adalah kembar di mana seorang anak berkembang dalam rahim ibu, manakala yang lain berkembang di dalam perut janin bayi itu.

"Prosedur pembedahan itu sendiri adalah sangat rumit, dengan objektif utamanya ialah memelihara nyawa bayi perempuan itu. Kami bersyukur takdir Ilahi yang membawa kepada kejayaan pembedahan," katanya.

Fenomena ini biasanya turut dirujuk sebagai Vanishing Twin Syndrome. Menurut laporan dari British Medical Journal, kes seumpamanya dianggarkan hanya berlaku pada satu daripada setiap 500,000 orang.

Kurang daripada 200 kes itu dilaporkan di seluruh dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 September 2023 @ 11:20 AM