GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Agensi

Bangkok: Mahkamah Thailand, baru-baru ini, menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan kepada seorang remaja kerana melakukan fitnah terhadap raja berhubung pakaian 'crop top' yang dipakainya semasa protes tiga tahun lalu, kata sebuah kumpulan hak asasi manusia.

Undang-undang lese majeste Thailand adalah antara yang paling ketat di dunia, dan mereka yang disabitkan kesalahan mengkritik Raja Maha Vajiralongkorn atau keluarga terdekatnya boleh dipenjara sehingga 15 tahun.

Napasit, 19, menyertai protes prodemokrasi pada 2020 dengan memakai 'crop top' hitam, merujuk kepada gambar yang muncul dalam media Eropah beberapa tahun sebelumnya yang nampaknya menunjukkan Raja memakai pakaian serupa.

"Lelaki itu juga mempunyai mesej yang dilukis pada badannya yang dianggap sebagai penghinaan kepada Raja", kata kenyataan daripada Peguam Hak Asasi Manusia Thailand (TLHR).

"Raja adalah berstatus suci yang tidak boleh dilanggar," kata mahkamah dalam penghakimannya, menurut kumpulan undang-undang.

Napasit pada mulanya dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun, tetapi oleh kerana defendan melakukan jenayah itu ketika dia masih di bawah umur 16 tahun, ia dikurangkan setengah kepada satu tahun enam bulan... dan kemudian disebabkan keterangan berguna yang defendan berikan, hukuman itu dikurangkan kepada 12 bulan," kata TLHR.

Menurut TLHR, sekurang-kurangnya 246 orang sudah dituduh atau didakwa melanggar undang-undang fitnah diraja sejak pertengahan 2020, termasuk 20 kanak-kanak bawah umur.

Media domestik dan antarabangsa mesti berhati-hati dalam melaporkan kes lese majeste dan monarki amnya, atau pendakwaan berisiko.

Parti Move Forward, yang memenangi kerusi terbanyak dalam pilihan raya Mei, berkempen dengan ikrar untuk melonggarkan undang-undang.

Tetapi pada Rabu, pemimpin parti, Pita Limjaroenrat digantung sebagai ahli parlimen, sementara menunggu siasatan kes pemilikan saham oleh Mahkamah Perlembagaan, dan dua percubaannya untuk menjadi perdana menteri sudah disekat oleh Parlimen.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Julai 2023 @ 9:12 AM