ANGGI dan Fahmi pada majlis pernikahan mereka. FOTO TikTok @fahmi_h07_
ANGGI dan Fahmi pada majlis pernikahan mereka. FOTO TikTok @fahmi_h07_
Agensi

Jakarta: Teka-teki kehilangan pengantin wanita Bogor, Jawa Barat, Indonesia, terjawab selepas dia didakwa bertemu dengan bekas teman lelakinya, di Bandung.

Wanita itu, Anggi Anggraeni, 21, dilaporkan hilang pada 26 Jun lalu, sehari selepas dinikahkan bersama suaminya, Fahmi Husaeni, 26.

Selepas mengetahui perkara itu, Fahmi menceraikan isterinya yang berasal dari Kampung Mekarsari, Rancabungur, Bogor itu.

Ketua Polis Rancabungur, Hartanto berkata, Fahmi menyerahkan semula Anggi kepada ibu bapanya melalui sesi mediasi yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Rancabungur.

Katanya, mediasi itu dihadiri beliau sendiri, keluarga Fahmi, Anggi, bekas kekasih Anggi serta Ketua Kampung Mekarsari.

"Fahmi dan lelaki itu menyelesaikan masalah itu secara baik dan bersetuju tidak akan mengambil tindakan undang-undang pada masa depan.

"Fahmi, sebagai suami sah Anggi Anggraeni juga, membuat keputusan menceraikan isterinya," katanya.

Fahmi turut memberitahu media, dia menyerahkan wanita yang baru sehari dinikahinya itu kepada teman lelaki Anggi.

"Saya menyerahkan Anggi kepada lelaki itu supaya mereka berdua boleh berkahwin," katanya.

Sebelum ini, pengantin wanita itu dilaporkan hilang tanpa jejak selepas meminta izin keluar dari suaminya itu untuk mengambil pesanan bayar waktu terima (cash on delivery atau COD) ayam geprek daripada sebuah aplikasi dalam talian, di depan rumah mereka.

Kehilangan wanita itu tersebar hingga tular di TikTok.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Julai 2023 @ 10:52 AM