GAMBAR sekadar hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR sekadar hiasan. FOTO NSTP
Agensi

Jakarta: Seorang lelaki sanggup menempah keranda kosong dan memalsukan kematiannya semata-mata mahu melarikan diri daripada penagih hutang.

Sandiwara kematian lelaki di Bogor, Jawa Barat, itu terbongkar apabila siasatan polis mendapati lelaki berusia, 40, hidup kembali selepas disahkan meninggal dunia.

Portal Kompas melaporkan, jurucakap polis, Tatang Hidayat berkata, sandiwara kematian lelaki itu yang hidup kembali terbongkar selepas pihaknya memeriksa dua pemandu ambulans.

Berdasarkan keterangan pemandu ambulans, lelaki itu sengaja menempah keranda kosong dengan dibantu isterinya.

Lelaki itu kemudian masuk sendiri ke dalam keranda ketika berada di wilayah Radio Dalam, Jakarta Selatan.

"Jadi dia dari Jakarta Selatan, bukan dari hospital, dia beli keranda kosong akhirnya masuk ke dalam peti itu," katanya.

Dengan ambulans yang disewa, mereka akhirnya berangkat dari Radio Dalam, Jakarta Selatan menuju Perumahan Ambar Telaga Residence 2, Rancabungur, Bogor.

Namun, di tengah perjalanan, mereka sempat berhenti berehat di sekitar Cibubur.

Pemandu ambulans curiga kerana ketika melanjutkan perjalanan, lelaki itu sudah tidak ada di lokasi dan hanya ada isterinya.

Pemandu ambulans sempat bertanya, tetapi isteri menjawab lelaki itu sudah berada dalam ambulans.

Pemandu terkejut ketika ketika mengetahui di dalam keranda itu tiada lelaki berkenaan ketika diturunkan di Rancabungur.

Lelaki itu membeli keranda kosong di Jakarta Selatan dengan alasan ada saudara yang meninggal di Rancabungur.

Hasil siasatan polis mendapati, lelaki itu tidak pernah disahkan meninggal dunia dari mana-mana hospital.

"Dia memalsukan kematiannya untuk menghalang penagih hutang mencarinya dan semua terbongkar selepas siasatan polis dilakukan.

"Ada fakta yang sedang kami dalami daripada keterangan pemandu ambulans yang membawa dari Jakarta itu selepas isterinya mengeluh dikelilingi hutang yang banyak," katanya.

Hingga kini, lelaki itu dan isterinya masih keberatan untuk memberikan keterangan berikutan dirawat di Hospital Kota Bogor.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 November 2022 @ 2:47 PM