SARARAT Rangsiwuthaporn berdepan kira-kira 80 pertuduhan jenayah. FOTO Daily News Handout/ Reuters
SARARAT Rangsiwuthaporn berdepan kira-kira 80 pertuduhan jenayah. FOTO Daily News Handout/ Reuters
AFP

Bangkok: Polis sudah melengkapkan siasatan mereka terhadap wanita Thailand yang dituduh meracuni orang ramai menggunakan sianida, kejadian pembunuh bersiri paling kejam di negara itu.

Fail siasatan sudah dirujuk ke pejabat pendakwa raya.

Siri pembunuhan itu menyebabkan 14 mangsa maut, manakala seorang terselamat dalam jenayah yang didakwa berlaku selama lapan tahun, kata polis.

Polis mengumumkan bahawa mereka akan memfailkan kes itu kepada Peguam Negara, untuk pendakwaan.

Sararat Rangsiwuthaporn berdepan kira-kira 80 pertuduhan jenayah, termasuk 14 pertuduhan pembunuhan terancang, satu rekod dalam sejarah jenayah di Thailand, kata polis.

"Sararat didakwa dengan pembunuhan terancang dalam semua 14 kes bunuh itu, yang sabit kesalahan membawa hukuman mati," kata Timbalan Komander Bahagian Siasatan Jenayah, Anek Taosuparb, kepada pemberita.

Timbalan Ketua Polis Thailand Surachate Hakparn merujuk Sararat sebagai lebih dahsyat daripada pembunuh lima wanita di London, United Kingdom (UK) pada 1888 yang digelar sebagai Jack the Ripper.

"Ini adalah kes bersejarah di Thailand. Malah, Jack the Ripper dari UK tidak membunuh seramai ini," katanya.

Sararat mengaku tidak bersalah atas pertuduhan terhadapnya, menurut polis.

Pihak berkuasa berkata, dakwaan pembunuhan itu dilakukan atas motif kewangan dan suspek mempunyai ketagihan terhadap perjudian dalam talian.

Sararat didakwa menipu dengan kerugian jumlah kolektif lebih daripada AS$140,000 (kira-kira RM653,449) daripada mangsanya sebelum meracuni mereka dengan sianida.

Pegawai Thailand menemu bual lebih 900 saksi dan meneliti 25,000 dokumen.

Sararat tidak akan layak untuk diikat jamin kerana polis berkata, dia akan mendatangkan bahaya kepada orang ramai.

Sararat mengalami keguguran di penjara awal minggu ini dan dihantar ke hospital, lapor media tempatan.

Polis menafikan soal siasat mereka menyumbang kepada keguguran itu.

Bekas suaminya, seorang anggota polis berpangkat tinggi, juga menghadapi pertuduhan jenayah berkaitan dengan melindungi jenayah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Julai 2023 @ 11:26 AM