SARARAT Rangsiwuthaporn. FOTO Reuters
SARARAT Rangsiwuthaporn. FOTO Reuters
Agensi

Bangkok: Seorang wanita Thailand yang dituduh meracuni orang ramai menggunakan sianida, didakwa dengan 14 pertuduhan membunuh, manakala bekas suaminya menghadapi tuduhan penipuan.

Sararat Rangsiwuthaporn ditahan minggu lalu selepas syak wasangka berhubung kematian rakannya, Siriporn Khanwong.

Kedua-duanya melepaskan ikan di jeti di Ratchaburi pada 14 April lalu apabila Siriporn tiba-tiba rebah dan meninggal dunia di tebing sungai.

Sararat dituduh dalam laporan media meninggalkan tempat kejadian dan bukannya tinggal dan membantu ketika orang ramai cuba memulihkan Siriporn.

Polis berkata, beberapa barangan Siriporn termasuk wang tunai, dua telefon dan beg mahal didapati hilang, manakala bedah siasat menemui kesan sianida di dalam tubuh badan mangsa.

Kes itu menjadi pencetus kepada lebih ramai keluarga tampil melaporkan mengenai saudara-mara mereka yang meninggal dunia secara mengejut selepas bertemu Sararat.

Sararat menafikan dakwaan terhadapnya, manakala bekas suaminya, Witoon Rangsiwuthaporn menyatakan tidak mengetahui mengenai pembunuhan itu.

Mangsa yang didakwa termasuk rakan Sararat, bekas rakan kongsi dan pegawai polis yang dikenalinya, menurut PBS Thai.

Seorang wanita yang didakwa diracun tetapi terselamat berkata, dia jatuh sakit selepas mengambil 'ubat batuk' yang diberikan Sararat ketika mereka berada di sebuah pusat beli-belah.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Surachate Hakparn berkata, pembunuhan itu bermotifkan kewangan.

"Dia meminta wang kepada orang yang dia kenali kerana dia mempunyai banyak hutang kad kredit dan jika mereka meminta wang mereka kembali, dia mula membunuh mereka.

"Kedua-dua tertuduh juga sudah bercerai tetapi masih tinggal bersama," katanya.

Susulan itu, polis menyeru orang ramai melaporkan jika wujud keraguan atau kebimbangan berkaitan dengan kes itu.

Polis masih meneliti tiga kes lain dan kawasan siasatan membabitkan lima wilayah.

Setakat ini, Sararat menghadapi 14 pertuduhan pembunuhan terancang dan satu percubaan pembunuhan, manakala Witoon didakwa menerima harta curi dan memalsukan serta menggunakan dokumen kerajaan yang dipalsukan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mei 2023 @ 11:59 AM