LUIS Stitzinger.
LUIS Stitzinger.
AFP

Kathmandu: Mayat pendaki gunung Jerman, Luis Stitzinger ditemukan di Kanchenjunga, gunung ketiga tertinggi di dunia, kata penganjur ekspedisi pada hari Rabu, beberapa hari selepas dia dilaporkan hilang semasa turun dari puncak.

Pasukan pencarian lima malim gunung Nepal menemui mayat Stitzinger tidak jauh dari puncak pada kira-kira 8,400 meter (m) pada Selasa, kata Mingma dari Seven Summit Treks kepada AFP.

"Mereka menurunkan mayatnya," kata sherpa itu.

Lelaki berusia 54 tahun itu sampai ke puncak gunung setinggi 8,586 m pada 25 Mei tanpa oksigen tambahan tetapi kemudian terputus hubungan.

Usaha menyelamat sebelum ini dihalang oleh keadaan cuaca.

Seorang pendaki dan pemandu gunung yang berpengalaman, Stitzinger sebelum ini pernah mendaki beberapa gunung lain yang lebih tinggi daripada 8,000 m.

Nepal adalah rumah kepada lapan daripada 10 puncak tertinggi di dunia dan mengalu-alukan ratusan pengembara setiap musim bunga, apabila suhu rendah dan angin di Himalaya biasanya lebih tenang.

Nepal mengeluarkan lebih seribu permit untuk gunungnya musim ini, termasuk 44 untuk Kanchenjunga.

Di Everest, 12 orang disahkan mati dan lima yang lain hilang, meletakkan 2023 di landasan untuk menjadi tahun untuk rekod kematian tertinggi.

Bulan lalu, pendaki Noel Hanna berusia 56 tahun dari Ireland Utara meninggal dunia di Annapurna, gunung ke-10 tertinggi di dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Jun 2023 @ 8:50 AM