PESAWAT C919 yang dibuat oleh China melakukan penerbangan komersial pertamanya pada hari ini. FOTO AFP
PESAWAT C919 yang dibuat oleh China melakukan penerbangan komersial pertamanya pada hari ini. FOTO AFP
Agensi

Beijing: Secara rasminya, pesawat penumpang pertama China, C919, berlepas untuk penerbangan komersial sulungnya, hari ini, lapor AFP.

Rakaman penyiar CCTV menyiarkan, penerbangan China Eastern Airlines MU9191 berlepas dari Lapangan Terbang Hongqiao Shanghai kira-kira 10.30 pagi waktu tempatan.

Pesawat itu membawa lebih 130 penumpang menerusi penerbangan China Eastern Airlines MU9191 ke Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing di sini.

Penerbangan itu dijangka mendarat di destinasinya 1.10 tengah hari, menurut laman web syarikat penerbangan itu.

Rakaman yang disiarkan media kerajaan menunjukkan, puluhan penumpang berkumpul di lapangan terbang Shanghai untuk merasai pengalaman menaiki pesawat itu.

Mereka kemudian masuk ke dalam pesawat berbadan sempit yang bergerak ke landasan sebelum berlepas.

Penumpang menerima pas masuk merah dan akan menikmati makanan mewah untuk memperingati penerbangan itu, lapor CCTV.

China melabur banyak dalam pengeluaran jet tempatan kerana mereka berusaha mahu berdikari dalam teknologi utama.

BBC dalam laporannya sebelum ini menyatakan C919 dihasilkan oleh Commercial Aircraft Corporation of China (COMAC ).

Pesawat C919 yang pertama dihantar kepada China Eastern Airlines pada Disember 2022 dan pada bulan-bulan berikutnya.

Pesawat enjin berkembar tunggal itu mempunyai 164 tempat duduk yang mempunyai kelas perniagaan dan ekonomi.

Dengan jarak sehingga 5,555 kilometer, C919 dijangka akan mengambil alih penguasaan dua pengeluar pesawat utama dunia, Airbus dan Boeing.

Ia akan menjadi pesaing langsung kepada jet badan sempit A320 dan B737, yang biasa digunakan untuk penerbangan antarabangsa domestik dan serantau.

Menurut Laporan Kemajuan Sains dan Teknologi Shanghai 2022 yang dikeluarkan Shanghai, 32 pelanggan membuat sejumlah 1,035 tempahan untuk pesawat itu pada akhir 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Mei 2023 @ 2:06 PM