ITAMAR Ben-Gvir dilihat di perkarangan Masjid Al-Aqsa. FOTO Reuters
ITAMAR Ben-Gvir dilihat di perkarangan Masjid Al-Aqsa. FOTO Reuters
AFP

Baitulmaqdis: Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben-Gvir melawat perkarangan Masjid Al-Aqsa pada Ahad dan ia mencetuskan kontroversi di tengah-tengah ketegangan yang memuncak di timur bandar ini.

Lawatan itu dibuat tiga hari selepas Ben-Gvir dan puluhan ribu nasionalis Yahudi berarak melalui Kota Lama Baitulmaqdis dan hanya selepas seminggu pengumuman gencatan senjata antara Israel dan pejuang Palestin di Gaza.

"Baitulmaqdis adalah jiwa kita," tulis Ben-Gvir di Telegram, bersama gambar dirinya di tapak di tengah Kota Lama Baitulmaqdis.

"Ancaman Hamas tidak akan menghalang kami, saya naik ke Temple Mount!" tulisnya, menggunakan nama Yahudi untuk tapak itu.

Masjid Al-Aqsa adalah tapak ketiga paling suci dalam Islam dan ia ditadbir oleh Jordan.

Orang bukan Islam dibenarkan melawat tapak tetapi tidak dibenarkan beribadat di sana.

Ia juga tapak paling suci bagi orang Yahudi, yang berdoa di bawahnya di Tembok Barat.

Hamas, kumpulan yang memerintah Semenanjung Gaza yang disekat, mengecam lawatan terakhir Ben-Gvir ke tapak itu pada Januari, dan sekali lagi menyelar tindakan menteri Israel itu pada Ahad.

"Israel akan memikul tanggungjawab atas pencerobohan biadab menteri dan kumpulan penerokanya", tulis kumpulan itu di Telegram.

Polis Israel mengesahkan lawatan Ben-Gvir dalam satu kenyataan, sambil menambah bahawa ia berlaku tanpa sebarang insiden.

Pada Ahad, ahli politik kanan Israel turut mengadakan mesyuarat Kabinet, yang jarang dilakukan di terowong di bawah Tembok Barat.

Penduduk Palestin bimbang bahawa penggunaannya sebagai muzium yang besar menjejaskan asas kepada Masjid Al-Aqsa.

Israel menganggap keseluruhan Baitulmaqdis sebagai ibu negara, tetapi penduduk Palestin mahukan sektor timur termasuk Kota Lama Baitulmaqdis sebagai ibu negaranya.

Majlis Hal Ehwal Wakaf Islam Jordan mentadbir perkarangan Masjid Al-Aqsa, turut mengkritik lawatan Ben-Gvir ke tapak suci umat Islam itu.

"Ia juga tidak kurang bahayanya dengan kerajaan penjajah Israel yang mengadakan mesyuarat di kawasan Tembok Barat," kata lembaga wakaf itu dalam satu kenyataan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Mei 2023 @ 10:23 AM