KOMPLEKS Masjid Al-Aqsa. FOTO AFP
KOMPLEKS Masjid Al-Aqsa. FOTO AFP
Reuters

Baitulmaqdis: Israel akan mengehadkan jumlah individu yang boleh memasuki perkarangan Masjid Al-Aqsa pada Ramadan ini, dengan alasan faktor keselamatan.

Pejabat Perdana Menteri Benjamin Netanyahu memaklumkan, Perdana Menteri membuat keputusan seimbang untuk membenarkan kebebasan beribadat dalam keperluan keselamatan yang ditentukan secara profesional.

Bagaimanapun, kenyataan itu tidak memberikan butiran lanjut.

Majlis Fatwa Tertinggi, perhimpunan tertinggi Islam Palestin, menyeru setiap orang boleh ke Masjid Al-Aqsa dan melindunginya.

Kumpulan pejuang Hamas berkata, rakyat Palestin harus menolak keputusan jenayah ini.

Katanya, rakyat perlu bangkit menentang keangkuhan dan kesombongan penjajah dan bergerak untuk berdiri teguh di Masjid Al-Aqsa.

Masjid Al-Aqsa, salah satu tempat paling suci di dunia untuk umat Islam, terletak di puncak bukit di Kota Lama Baitulmaqdis di kawasan yang juga dianggap orang Yahudi sebagai tapak kuil mereka.

Peraturan mengenai akses ke kawasan itu sering menjadi punca pergaduhan, termasuk pada Ramadan.

Sebelum ini, Israel mengenakan sekatan, biasanya menghalang individu lebih muda memasuki perkarangan Masjid Al-Aqsa, dengan alasan langkah itu bagi menghalang keganasan.

Pada April tahun lalu, polis Israel bertempur dengan penduduk Palestin di masjid itu semasa Ramadan.

Pergolakan ganas juga dilaporkan berlaku di kawasan itu pada tahun 2021 dan 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Februari 2024 @ 10:22 AM