AHLI keluarga meratapi kematian jenazah Shawkat Khalid di Hospital al-Mizan, Tebing Barat. FOTO AFP
AHLI keluarga meratapi kematian jenazah Shawkat Khalid di Hospital al-Mizan, Tebing Barat. FOTO AFP
AFP

Beit Ummar: Seorang lelaki Palestin mati ditembak tentera Israel di Tebing Barat, semalam, selepas tercetus pertempuran ketika pengebumian seorang kanak-kanak negara itu, lapor pihak berkuasa Palestin.

"Shawkat Khalid Awad, 20, mati akibat tembakan pada kepala dan perut di Beit Ummar," menurut Kementerian Kesihatan Palestin.

Kawasan itu menjadi medan pertempuran sejak berbulan-bulan lalu antara tentera Israel dengan rakyat Palestin yang melakukan bantahan.

Kelmarin, Mohamad al-Alami, 12, maut akibat ditembak tentera Israel ketika dalam perjalanan dengan menaiki sebuah kereta bersama bapanya di Beit Ummar, kata pegawai Palestin.

Semalam, orang ramai mengusung jenazah kanak-kanak itu yang dibalut dengan bendera parti Fatah, untuk dikebumikan di Beit Ummar.

Ratusan rakyat Palestin kemudian dilaporkan melempar batu ke arah tentera Israel yang bertindak balas dengan melepaskan tembakan gas pemedih mata, kata seorang koresponden AFP.

Kementerian Kesihatan Palestin memaklumkan, remaja Palestin, Mohammed Munir al-Tamimi, 17, meninggal dunia di hospital Sabtu lalu selepas mengalami kecederaan akibat ditembak dalam pertempuran di perkampungan Beita pada hari sebelumnya.

Ratusan rakyat Palestin berkumpul di Beita, Jumaat lalu, bagi membantah penempatan haram Yahudi di Eviatar yang terletak berhampiran.

Pertempuran dengan tentera Israel itu menyebabkan 320 rakyat Palestin mengalami kecederaan, menurut pihak Bulan Sabit Merah.

Semua penempatan Yahudi di Tebing Barat dianggap sebagai haram oleh kebanyakan masyarakat antarabangsa.


Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Julai 2021 @ 3:51 PM