ASKAR Israel dilihat di bandar Huwara, Tebing Barat. FOTO AFP
ASKAR Israel dilihat di bandar Huwara, Tebing Barat. FOTO AFP
Agensi

Baitulmaqdis: Hari terakhir sebelum Ramadan di Palestin dicemari dengan tentera Israel melancarkan serbuan meluas ke atas bandar di Tebing Barat yang dijajah termasuk Ramallah, Nablus, Jericho dan Bethlehem.

Media Israel dan Palestin melaporkan 26 orang ditahan dalam serbuan itu.

Portal The National melaporkan, di Ramallah, tentera Israel melepaskan gas pemedih mata berhampiran hospital, berdekatan kediaman Presiden Palestin Mahmoud Abbas, dakwa aktivis Younis Tirawi.

Di Jericho, tentera rejim menggunakan gas pemedih mata dan menangkap seorang individu, manakala sekurang-kurangnya seorang cedera akibat tembakan, kata media Palestin.

Rakaman di media sosial seolah-olah menunjukkan tentera Israel ditempatkan di hadapan balai polis utama di bandar itu, dengan dakwaan puluhan kenderaan perisai memasuki kawasan itu.

Media Palestin juga menyiarkan rakaman pembesar suara masjid yang menyeru penduduk turun ke jalan dan menentang operasi Israel.

Di Hebron, lebih 50 kenderaan tentera masuk, didakwa menangkap empat orang, dakwa Tirawi di media sosial.

Pada Selasa, Menteri Pertahanan Israel berkata, perang Israel pada masa akan datang akan membabitkan beberapa barisan hadapan.

Katanya, ia tidak akan terhad kepada perang di Gaza atau sebahagian Tebing Barat.

Terdahulu, pada Isnin, Israel berkata, ia menerbitkan peraturan untuk rakyat Palestin yang ingin solat di Masjid al-Aqsa, Baitulmaqdis, dalam usaha untuk meredakan ketegangan semasa bulan Ramadan.

Pelan itu bermakna semua wanita boleh memasuki perkarangan kompleks masjid itu tanpa permit.

Bagi lelaki, kanak-kanak di bawah umur 12 tahun dan mereka yang berumur lebih 55 tahun tidak lagi memerlukan permit untuk melakukan perjalanan dari Tebing Barat ke Masjid al-Aqsa.

Peraturan lebih ketat dikenakan bagi mereka yang datang dari Gaza.

Pihak berkuasa Israel berkata, rancangan itu akan dinilai semula secara berterusan sepanjang bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mac 2023 @ 12:01 PM