Cha Sa-soon, 69, mula mengambil ujian bertulis pada April 2005. FOTO Agensi
Cha Sa-soon, 69, mula mengambil ujian bertulis pada April 2005. FOTO Agensi
Agensi

Seoul: Seorang wanita Korea Selatan tidak kenal putus asa apabila usahanya membuahkan hasil apabila lulus ujian memandu pada percubaan ke-960 selepas membelanjakan lebih 11,000 pound sterling (kira-kira RM59,648) untuk mendapatkan lesen.

Portal Mirror melaporkan, Cha Sa-soon, 69, mula-mula mengambil ujian bertulis pada April 2005 dan selepas gagal buat kali pertama, dia terus mengambilnya semula setiap hari, lima hari seminggu, selama tiga tahun dengan 780 percubaan.

Dia kemudiannya mula mengambil ujian hanya dua kali seminggu sehingga lulus sebelum terpaksa meneruskan ujian praktikal.

Akhirnya, dia lulus ujian memandu selepas percubaan ke-10 bermakna dia sudah melalui 960 peperiksaan secara keseluruhan sebelum akhirnya berjaya mendapat lesen memandu.

Wanita itu tidak berputus asa kerana dia memerlukan lesen untuk perniagaan menjual sayur-sayurannya.

Menurut laporan, dia membelanjakan hampir 11,000 pound sterling untuk mendapatkan lesen memandunya.

Pengajar di Sekolah Memandu Jeonbuk berkata, dia berasa lega apabila Cha Sa-soon akhirnya mendapat lesen itu.

"Apabila dia berjaya mendapat lesen, kami semua keluar sambil bersorak dan memeluknya serta memberinya bunga.

"Rasanya seperti beban yang besar jatuh dari belakang kami. Kami tidak mempunyai keberanian untuk memberitahu dia supaya berputus asa mencuba kerana dia setiap hari muncul di sekolah memandu," katanya.

Susulan beberapa percubaan mengambil ujian itu, wanita itu menjadi selebriti di Korea dan turut muncul dalam iklan Hyundai.

Pengeluar kereta Hyundai Korea Selatan turut menghadiahkannya sebuah kenderaan baharu bernilai hampir 11,640 pound sterling (kira-kira RM63,119).

Kisah itu yang berlaku lebih 15 tahun lalu muncul semula di Reddit minggu ini dengan ratusan pengguna berkongsi reaksi masing-masing.

"Saya tidak mahu seseorang yang gagal lebih lima kali berada di jalan yang sama dengan saya, apatah lagi 960 kali," kata netizen.

"Saya secara peribadi percaya jika anda gagal dalam ujian memandu lebih 10 kali, anda tidak sepatutnya dibenarkan memandu," kata seorang lagi netizen.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mac 2023 @ 11:46 AM