Gambar hiasan
Gambar hiasan
Agensi

Rom: Helah seorang guru matematik di Pordenone, Itali yang mengambil cuti 769 hari dalam tempoh tiga tahun terbongkar selepas dia dikesan melakukan pekerjaan lain.

Guru berusia 47 tahun itu mengadu sakit dan tidak bekerja lebih dari dua tahun, lapor The Sun.

Dia mempunyai rekod cuti sakit selama 459 hari dan mengambil cuti keluarga selama 310 hari lagi dengan alasan perlu menjaga anak kecil.

Biarpun mempunyai sijil perubatan yang ditandatangani doktor keluarganya di Agrigento, tindakannya itu mengundang rasa bosan rakan-rakan sekerja.

Siasatan polis mendapati dia menjalankan kerja-kerja perunding untuk beberapa syarikat berbeza sepanjang cuti berkenaan.

Untuk kerja-kerja barunya itu, dia memperoleh bayaran 82,000 Pound Sterling (kira-kira RM470,853).

Polis mengesan taktik liciknya itu selepas meneliti pergerakannya, memeriksa bayaran tol serta tempahan hotel sepanjang dia bercuti.

Selain cuti 'rehat' terbabit, guru itu juga menipu tuntutan berjumlah 11,000 pound sterling (kira-kira RM63,157) untuk faedah penyakit dan penjagaan anak.

Selepas hakim memutuskan bahawa semua wang miliknya dibekukan, peguam guru terbabit meminta anak guamnya itu ditukarkan ke sekolah di Sicily, namun ditolak.

Ia berdasarkan kes sebelum ini yang mana seorang pegawai keselamatan di sebuah hospital di Calabria dituduh mengabaikan pekerjaan selama 15 tahun dengan gaji 464,000 Pound Sterling (kira-kira RM 2.66 juta).

Digelar Raja Tidak Hadir, Salvatore Scumace, 66, dikatakan berhenti kerja di hospital Ciacco di Catanzaro pada 2005.

Laporan tempatan menyebut, dia dibayar dengan jumlah itu sepanjang bekerja di hospital berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 September 2021 @ 6:01 AM