RUMAH didiami Fatima yang roboh dengan tiba-tiba. FOTO Agensi
RUMAH didiami Fatima yang roboh dengan tiba-tiba. FOTO Agensi
Agensi

Jakarta: Malang buat seorang nenek yang hidup sebatang kara selama puluhan tahun apabila hilang tempat berteduh selepas rumah didiaminya di Lumajang, Jawa Timur, Indonesia roboh.

Portal Kompas melaporkan, rumah didiami Fatima sejak kecil itu tiba-tiba roboh tanpa punca yang jelas.

Ketika kejadian, cuaca di kawasan itu cerah, malah tiada angin kencang atau hujan lebat.

Fatima pula sedang menunaikan solat Asar dekat surau berhampiran rumahnya.

Tembok belakang rumah Fatima runtuh diikuti atap rumah yang silih berganti jatuh ke tanah.

Difahamkan, Fatima tinggal sebatang kara sejak 20 tahun lalu selepas suaminya meninggal dunia akibat faktor usia.

Dia hidup sendiri kerana tiada zuriat memandangkan anaknya meninggal ketika bayi.

"Dulu saya sempat melahirkan anak tetapi dia meninggal dunia ketika bayi kerana sakit," kata Fatima.

Demi kelangsungan hidup, Fatima yang lahir sebulan selepas pasca kemerdekaan Republik Indonesia, bergantung pada bantuan sosial daripada kerajaan.

Ada kalanya, jiran tetangga dan saudara-mara yang tinggal berdekatan rumahnya menghantar makanan untuknya.

"Dulu rajin juga ke sawah tetapi kini betis sudah tidak kuat. Jadi, duit bantuan itu yang digunakan untuk membeli makan," kata Fatima lagi sambil memaklumkan rumahnya sebelum ini bocor dimasuki setiap kali hujan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Februari 2023 @ 1:47 PM