KEADAAN rumah Effandi Abdul Rahim yang usang. FOTO AMIR MAMAT
KEADAAN rumah Effandi Abdul Rahim yang usang. FOTO AMIR MAMAT
Amir Mamat


SATU keluarga di Banda Kaba, Bandar Hilir, Melaka yang kesempitan hidup terpaksa menerima hakikat tinggal dalam rumah hampir menyembah bumi.

Rumah papan disewa daripada seorang ahli perniagaan sejak 11 tahun lalu itu menjadi tempat berteduh empat sekeluarga itu selain dua penyewa lain iaitu seorang ibu tunggal dan mualaf.

Tiada siapa menyangka, ketika kawasan sekitar pusat pelancongan di tengah-tengah Bandaraya Melaka sedang rancak dimajukan, terdapat beberapa kediaman usang didiami keluarga daif yang hanya mengharapkan belas ihsan pihak lain.

Effandi Abdul Rahim, 50, yang bekerja sebagai tukang kebun di sekolah rendah di Melaka, berkata lebih 11 tahun dia mendiami rumah berkenaan bersama isteri dan dua anaknya berusia 14 dan 17 tahun.

Menurutnya, sebahagian bumbung rumah kayu didiami itu hampir menyembah bumi, manakala sebahagian struktur rumah itu diselaputi dedaun menjalar.

Katanya, disebabkan kesempitan hidup dia tidak mampu menyewa rumah lain dan terpaksa reda tinggal di rumah dimamah anai-anai dan menunggu hari untuk roboh.

"Dalam keadaan rumah uzur, saya sering tidak dapat melelapkan mata disebabkan bimbang sekiranya berlaku sesuatu tidak diingini, lebih-lebih lagi ketika waktu hujan sejak kebelakangan ini selain keadaan rumah yang bila-bila masa sahaja boleh roboh.

"Atap rumah bocor sehingga kami risau ancaman binatang berbisa seperti ular dan pernah ular tedung serta ular sawa masuk dalam rumah ini," katanya yang berasal dari Ulu Klang, Selangor.

Jika dilihat kepada struktur kediaman berkenaan, keadaan lantai, dinding dan bumbung usang dan dipenuhi kesan anai-anai, rumah terletak betul-betul dalam kawasan bandar pelancongan itu boleh roboh pada bila-bila masa.

Namun, kehidupan itu dianggap biasa oleh Effandi kerana dengan berpendapatan kira-kira RM1,200 sebulan mereka tidak mampu untuk mencari rumah sewa lain yang memerlukan perbelanjaan besar.

"Jika mahu menyewa rumah lain, sudah pasti memerlukan bayaran pendahuluan sekurang-kurangnya dua bulan sewa. Saya tiada duit kerana apa yang ada (duit) sekarang ini pun dipinjamkan majikan dan hanya cukup makan saja.

"Justeru, saya mengambil keputusan untuk terus menetap di sini sehingga pemilik tanah meminta kami keluar," katanya.

Beliau berkata, bubur nasi sering menjadi menu harian untuk mereka mengalas perut terutama sekiranya terputus bekalan makanan.

Justeru, beliau berharap Ramadan kali ini memberi sinar kepada mereka sekeluarga untuk mendapat tempat tinggal yang lebih baik dan selesa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 April 2020 @ 5:35 PM