HAPSAH hidup sebatang kara di rumah pusaka yang daif dengan lantai serta dinding berlubang.
HAPSAH hidup sebatang kara di rumah pusaka yang daif dengan lantai serta dinding berlubang.
Siti Rohana Idris dan Fakhrul Abid Mohamed Saifuddin

Kota Bharu: Seorang wanita hidup sebatang kara di sebuah rumah daif di Kampung Pengkalan Datu, di sini dan menunggu masa untuk roboh.

Jika dilihat dari luar, rumah pusaka dihuni Hapsah Daud, 54, seakan-akan rumah yang ditinggalkan kerana dindingnya banyak terkopak dan sebahagian bumbungnya pula tiada.

Keadaan di dalam ‘istana’ Hapsah sangat menyedihkan dengan keadaan lantai yang berlubang serta reput dan tidak boleh dimasuki lebih daripada lima orang sekali gus kerana bimbang akan runtuh.

Hapsah berkata, dinding dan lantai rumah itu sudah reput akibat dimakan anai-anai dan keadaan semakin teruk apabila kerap ditimpa hujan.

“Saya sendiri pernah terperosok jatuh ke tanah apabila terpijak lantai reput menyebabkan cedera di dagu.

“Saya juga bimbang jika ada haiwan berbisa menyelinap masuk ke dalam rumah kerana sebelum ini biawak dan musang sudah memasuki rumah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Hapsah yang juga menghidap kemurungan sejak lebih 20 tahun lalu bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM150 sebulan untuk kelangsungan hidup.

Dia juga enggan membebankan ahli keluarga lain walaupun tiga adik-beradiknya tinggal berhampiran dan dalam masa sama tidak mahu meninggalkan rumah pusaka yang dihuni sejak lahir.

Nasib Hapsah mendapat perhatian Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Pengkalan Chepa Nasruddin Abdullah yang hadir meninjau sendiri keadaan kediaman uzur wanita itu sambil menghulurkan sumbangan makanan keperluan harian.

Nasruddin berkata, pihaknya akan berusaha untuk mencari dana dan pada masa sama membuka peluang kepada pihak lain untuk turut menghulurkan sumbangan bagi membaik pulih rumah Hapsah.

“Kami akan cuba membaik pulih rumahnya dalam masa terdekat dan mengalu-alukan sebarang kerjasama untuk membantu sama ada baik pulih rumah atau bantuan keperluan lain.

“Dalam perkara seperti ini sentimen politik perlu diketepikan kerana ia menjadi tanggungjawab kita semua untuk membantu mereka yang memerlukan dan mana-mana pihak ingin turut sama membantu boleh menghubungi saya di talian 013-9441800,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Disember 2018 @ 12:28 PM