SERIZAN (kiri) bersama Ozhan berdiri di hadapan premis perniagaan mereka yang musnah akibat gempa bumi. FOTO Agensi
SERIZAN (kiri) bersama Ozhan berdiri di hadapan premis perniagaan mereka yang musnah akibat gempa bumi. FOTO Agensi
Agensi

Iskenderun, Turkiye: "Penderitaan kami sangat hebat. Saya hanya mempunyai 15 lira (kira-kira RM3.50) dalam poket saya, (hinggakan) saya tidak mempunyai rokok pun," kata Serizan Agbas, 61, antara mangsa gempa bumi di Turkiye.

Ketika ditemui Al Jazeera, wanita terbabit seperti berputus asa dan warga emas itu berasa bagaikan kehilangan segala-galanya dalam hidup selepas bencana alam yang memusnahkan bandar Iskenderun.

Tempat bermalam Serizan kini adalah di atas kerusi taman sebuah sekolah di bandar itu sejak gempa bumi melanda wilayah tenggara Turki berkenaan pada 6 Februari lalu.

Walaupun blok pangsapuri kediaman Serizan masih tegak berdiri tetapi dianggap tidak selamat untuk didiami.

Jadi dia memutuskan untuk tinggal di tempat terbuka dengan berkongsi unggun api untuk menghilangkan kesejukan dengan pasukan penyelamat, selain menagih simpati mendapatkan makanan.

Selama 30 tahun, Serizan menjalankan perniagaan di kedai tekstil, tetapi gempa bumi memusnahkan bangunan itu dan malangnya dia tidak mempunyai insurans.

Tidak tahu apa lagi yang perlu dilakukan, dia datang ke bangunan tempatnya mencari rezeki itu setiap hari.

Kadang-kadang dia bertemu dengan seorang lagi penduduk, Ozhan Komurcu di sana, yang pernah mengusahakan kedai permaidani di dalam bangunan itu juga.

Al Jazeera melaporkan, seramai 14 mangsa dapat diselamatkan dari bangunan runtuh tetapi penduduk percaya lebih 100 orang mati di celah runtuhan.

Pada masa ini penduduk mula bimbang mengenai penyakit yang berisiko merebak.

Gempa bumi besar berukuran 7.8 pada skala Richter melanda selatan Turkiye dan barat laut Syria pada Isnin minggu lalu. Kesan gegaran turut dirasai di Cyprus dan Lubnan.

Sehari kemudian, Turkiye mengisytiharkan darurat selama tiga bulan di 10 wilayah iaitu Adana, Adiyaman, Diyarbakir, Gaziantep, Hatay, Kahramanmaras, Kilis, Malatya, Osmaniye dan Sanliurfa bagi memastikan misi mencari dan menyelamat (SAR) berjalan lancar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Februari 2023 @ 2:28 PM