Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Iskenderun, Turkiye: Keperitan mangsa gempa bumi di wilayah ini yang mengharungi cuaca sejuk tanpa tempat tinggal mendapat perhatian Muslim Care Malaysia (MCM).

Timbalan Pengerusi Muslim Care Malaysia (MCM) Mohd Johari Ismail berkata, pihaknya mengedarkan sumbangan berupa baju sejuk, lampin pakai buang, barang keperluan asas dan wang tunai kepada mangsa yang terjejas.

"Hari ini kita memberi fokus di wilayah Iskenderun, selain barangan berkenaan, sebanyak 1,800 roti juga sudah diedarkan dan penambahan roti akan dibuat jika ianya tidak mencukupi.

"Ramai mangsa gempa bumi di wilayah ini hanya berada di bawah khemah yang disediakan tanpa sebarang bekalan asas, kita dapat melihat sendiri apabila kita berada di lapangan ini," katanya.

Menurutnya, sumbangan akan diteruskan juga di wilayah lain esok selepas menerima kebenaran dari pihak berwajib dan akan diedarkan kepada mangsa gempa bumi.

"Bantuan sumbangan rakyat Malaysia ini sampai tepat ke sasaran dan kita akan terus membantu mangsa yang terjejas di sini.

"Selain di Turkiye, MCM juga menyalurkan sumbangan kepada mangsa gempa bumi di Syria di mana situasinya sama," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun Maybank Muslim Care Malaysia 564490413882, Bank Islam 14014010147470, Bank Rakyat 1101744599 selain ke akaun Bank CIMB Pertubuhan Penyayang Islam Malaysia 8604171675.

Slip sumbangan boleh dimaklumkan kepada Exco untuk rekod dan dokumentasi melalui Hotline: 011-5005 0035 atau kepada Timbalan Presiden MCM, Mohd Johari Ismail 016-997 8323 dan Setiausaha Agung MCM Ahmad Safuan Ujar 013-488 6447.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Februari 2023 @ 12:31 PM
MOHD Johari (dua dari kiri) bersama peserta misi bantuan kemanusiaan MCM memeriksa bekalan bantuan yang dibawa sejurus tiba di Lapangan Terbang Adana, Turkiye. FOTO Aizuddin Saad
MOHD Johari (dua dari kiri) bersama peserta misi bantuan kemanusiaan MCM memeriksa bekalan bantuan yang dibawa sejurus tiba di Lapangan Terbang Adana, Turkiye. FOTO Aizuddin Saad