Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Iskenderun, Turkiye: Cuaca sejuk melampau sehingga -7 darjah selsius pada malam hari menyebabkan mangsa gempa bumi yang kehilangan tempat tinggal mengalami kesukaran.

Ada di antara mereka yang menggigil kesejukan dan terpaksa membuat unggun api di tepi khemah masing-masing kerana kekurangan selimut tebal.

Harga selimut tebal yang mencecah sehingga empat kali ganda di kawasan ini menyebabkan mereka tidak mampu membeli keperluan berkenaan.

Namun, pertubuhan kemanusiaan merentasi sempadan, Muslim Care Malaysia (MCM) mengambil inisiatif dengan mengedarkan 200 selimut tebal kepada mangsa gempa bumi terbabit.

Timbalan Pengerusi MCM, Mohd Johari Ismail berkata, bantuan berkenaan diedarkan di kawasan Iskenderun di wilayah Hatay.

"Ramai mangsa yang tidak mempunyai selimut tebal akibat kemusnahan yang dialami di kediaman mereka, ada di antara mereka hanya beralaskan karpet nipis di dalam khemah.

"MCM mengambil inisiatif dengan mendapatkan bekalan berkenaan walaupun dengan harga yang berlipat kali ganda oleh kerana keperluan mendesak mangsa," katanya.

Menurutnya, bantuan ini juga akan diagihkan kepada mangsa di bandar-bandar lain yang terjejas termasuk di Syria bagi memberi keselesaan kepada mangsa yang kini menderita akibat kehilangan tempat tinggal.

Rakyat Malaysia boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun Maybank Muslim Care Malaysia 564490413882, Bank Islam (14014010147470), Bank Rakyat (1101744599) selain akaun Bank CIMB Pertubuhan Penyayang Islam Malaysia (8604171675).

Slip sumbangan boleh dimaklumkan kepada exco untuk rekod dan dokumentasi melalui Hotline: 011-50050035 atau kepada Timbalan Presiden MCM, Mohd Johari Ismail (016-9978323) dan Setiausaha Agung MCM Ahmad Safuan Ujar (013-4886447).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Februari 2023 @ 1:19 PM
Pengerusi Muslim Care Syria, Muhammad Khatib (kanan) bersama pasukan misi bantuan kemanusiaan Muslim Care Malaysia menghulurkan sumbangan bantuan selimut untuk penduduk setempat bagi menghadapi cuaca sejuk ekstrem apabila mereka tinggal di dalam khemah selepas bencana gempa bumi yang melanda sekitar selatan Turkiye ketika tinjauan di Iskenderun, Turkiye. FOTO AIZUDDIN SAAD
Pengerusi Muslim Care Syria, Muhammad Khatib (kanan) bersama pasukan misi bantuan kemanusiaan Muslim Care Malaysia menghulurkan sumbangan bantuan selimut untuk penduduk setempat bagi menghadapi cuaca sejuk ekstrem apabila mereka tinggal di dalam khemah selepas bencana gempa bumi yang melanda sekitar selatan Turkiye ketika tinjauan di Iskenderun, Turkiye. FOTO AIZUDDIN SAAD