GEMPA susulan antara risiko harus dihadapi wartawan Harian Metro ketika membuat laporan di Bandar Hatay. Foto Aizuddin Saad
GEMPA susulan antara risiko harus dihadapi wartawan Harian Metro ketika membuat laporan di Bandar Hatay. Foto Aizuddin Saad
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Hatay, Turkiye: Berita kejadian gempa bumi yang berlaku di selatan Turkiye tanggal 6 Februari lalu begitu menyayat hati apabila terlalu ramai mangsa dilaporkan terperangkap, kehilangan ahli keluarga tersayang juga kediaman serta kemusnahan bangunan.

Gempa berskala 7.8 dan 7.6 magnitud itu antara yang paling buruk pernah berlaku di negara itu menggemparkan seluruh dunia yang rata-ratanya menzahirkan rasa sedih dan dukacita.

Penulis tidak terkecuali mengikuti perkembangan dan saban hari menatap setiap laman web serta membelek laporan akhbar bagi mengetahui sendiri perkembangan terkini berhubung gempa yang ketika itu sudah mengorbankan puluhan ribu nyawa.

Namun, penulis sama sekali tidak menyangka diberikan kepercayaan ditugaskan di lokasi ground zero itu selepas menerima panggilan telefon daripada Pengarang Kumpulan Harian Metro Husain Jahit memaklumkan perlu berangkat pada hari ketiga selepas gempa berlaku.

Ini bukan kali pertama penulis membuat liputan berhubung kejadian bencana, terbaharu penulis membuat liputan kejadian tanah runtuh di Father's Organic Farm, Batang Kali yang mengorbankan 31 nyawa selain pelbagai kejadian serta bencana dalam dan luar negara.

Menjadi antara wartawan luar terawal tiba di lokasi zon merah sungguh mendebarkan hati penulis susulan berdepan risiko gempa susulan yang boleh berlaku pada bila-bila masa saja.

Hari pertama tiba di Bandar Iskenderun - antara bandar yang terjejas teruk di wilayah Hatay membuatkan penulis terpaku seketika tatkala melihat sendiri hampir seluruh kawasan itu musnah dengan dipenuhi timbunan runtuhan bangunan serta rumah.

Raungan dan tangisan ahli keluarga di setiap sudut kawasan terutama berhampiran pasukan keselamatan yang sedang bertungkus-lumus memecah kesepian bandar.

Bunyi siren ambulans juga tidak putus-putus sejak penulis tiba di wilayah itu menyebabkan hati sentiasa gusar, namun kepercayaan dan amanah yang diberikan 'bos' perlu dilaksanakan.

Penulis yang menyertai misi kemanusiaan Turkiye-Syria pertubuhan kemanusiaan merentasi sempadan, Muslim Care Malaysia (MCM) terlebih dahulu mendapatkan kebenaran dari Pihak Berkuasa Bencana dan Kecemasan (Afad) Turkiye dan Direktorat Komunikasi, Presidensi Republik Turkiye bagi melaporkan berhubung kejadian itu.

Selepas menerima kelulusan, penulis kemudian ke bandar Antakya yang terletak kira-kita 300 kilometer dari bandar Iskenderun.

Bandar Antakya diisytiharkan sebagai Zon Merah dan tidak dibenarkan masuk, namun penulis bersama sukarelawan MCM mendapat kebenaran untuk masuk dan membantu mereka melakukan kerja mencari dan menyelamat.

Keadaan yang hiruk-pikuk, runtuhan di kiri dan kanan jalan menyebabkan penulis sesak nafas seketika akibat anxiety kerana tidak pernah melihat kemusnahan yang teruk akibat bencana gempa bumi itu.

Penulis yang berpengalaman selama 12 tahun dalam melaporkan berita berkaitan bencana, jenayah dan keselamatan menyifatkan bencana yang berlaku itu adalah terburuk pernah dialami terutama di bandar Antakya, Gaziantep, Kahramanmaras dan Kirikhan.

Masalah komunikasi antara cabaran utama selain kekurangan kenderaan untuk membawa penulis ke lokasi yang terjejas.

Kebanyakan penduduk setempat bercakap dalam bahasa Turki dan hanya sesetengah tempat menggunakan bahasa Arab, kebanyakan mereka yang menggunakan bahasa Arab adalah pelarian dari Syria.

Risiko gempa susulan antara risiko yang kerap kali dialami, malah penulis merasai gempa bumi susulan yang kuat ketika sedang tidur di tempat penginapan.

Penulis dan sukarelawan MCM terpaksa lari ke kawasan lapang bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku dan bersyukur tiada kejadian runtuhan berlaku ketika itu.

Cuaca sejuk yang ekstrem juga antara cabaran dilalui penulis dan jurugambar serta pasukan sukarelawan MCM.

Suhu sehingga -7 darjah selsius menyukarkan lagi pergerakan penulis untuk mencari bahan berita dan mengagihkan bantuan kepada mangsa yang terjejas.

Namun, semuanya berjaya dilaksanakan dengan baik, malah laporan penulis juga dilaporkan tanpa sebarang masalah komunikasi.

Penulis dan jurugambar serta pasukan sukarelawan sudah selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, dengan selamat, kelmarin.

Bagi jurugambar Aizuddin Saad, dia menyifatkan laporan dari kawasan bencana itu adalah paling mencabar.

"Bau dari kawasan runtuhan, selain habuk dan tidak mempunyai peralatan keselamatan mencukupi menyukarkan kerja laporan fotografi dibuat.

"Selain itu, gangguan emosi yang dialami mangsa bencana juga turut menyukarkan foto diperolehi dek kerana mereka sensitif dan tidak mahu dirakam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Februari 2023 @ 8:46 PM