FOTO menunjukkan api pada enjin pesawat berkenaan. FOTO Agensi
FOTO menunjukkan api pada enjin pesawat berkenaan. FOTO Agensi
FOTO menunjukkan api pada enjin pesawat berkenaan. FOTO Agensi
FOTO menunjukkan api pada enjin pesawat berkenaan. FOTO Agensi
Agensi

Bangkok: Pelancong Rusia di Phuket berdepan detik mencemaskan selepas enjin pesawat dinaiki mereka terbakar, manakala tayar pula meletup ketika ia berlepas.

Metro UK melaporkan, pesawat Boeing 767-306ER itu terbakar ketika ia meninggalkan Lapangan Terbang Phuket untuk menuju ke Moscow.

Ketika kejadian, pesawat itu membawa kira-kira 300 penumpang dan 12 anak kapal.

Kesemua mereka yang berada di dalam pesawat itu dipindahkan dan kemudian diberitahu untuk menunggu penerbangan baharu.

Insiden itu juga tersebar selepas gambar dan rakaman dramatik menunjukkan pesawat itu dilanda kebakaran secara tiba-tiba akibat lonjakan suhu enjin.

Terdapat laporan adanya bunyi dentuman kuat dalam pesawat ketika ia berlepas.

Gear pendaratan juga terbakar di sebelah kanan pesawat yang sama, apabila pesawat itu membatalkan pelepasannya.

Syarikat penerbangan Rusia dalam satu kenyataan memaklumkan pakar teknikalnya giat melakukan kerja untuk membaiki kerosakan.

Penumpang penerbangan ZF-3604 itu kemudian diberikan penginapan di hotel, makanan dan minuman, sementara menunggu penerbangan lain ke Moscow.

Penumpang diberitahu mereka menaiki penerbangan dengan pesawat lain, hari ini.

Difahamkan, syarikat penerbangan Rusia itu disyaki mengendalikan pesawat yang sudah lama tanpa penyelenggaraan yang sewajarnya berikutan sekatan keras Barat berhubung perang Vladimir Putin di Ukraine.

Pesawat berusia 26 tahun yang dikendalikan oleh syarikat sewa Azur Air itu dikatakan dalam perjalanan ke ibu negara Rusia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Februari 2023 @ 10:17 AM