KEADAAN lubang pada pesawat berkenaan. FOTO The Aviation Herald
KEADAAN lubang pada pesawat berkenaan. FOTO The Aviation Herald
Agensi

Brisbane: Sebuah pesawat terbang selama 14 jam dalam keadaan berlubang dianggap pakar penerbangan sebagai kejadian 'satu dalam sejuta'.

Penumpang penerbangan Emirates dari Dubai ke Brisbane itu terkejut apabila melihat kerosakan berkenaan ketika turun dari pesawat.

Syarikat penerbangan itu berkata, lubang itu terjadi disebabkan satu daripada 22 tayar Airbus A380 pecah sejurus selepas berlepas.

Tiada penumpang yang cedera dan penerbangan EK430, selamat mendarat.

"Insiden itu sangat luar biasa," kata Dr Johannes Boroh, bekas juruterbang pesawat komersial dan pensyarah kanan dalam pengajian penerbangan Universiti Kingston London.

"Kejadian ini satu dalam sejuta dan kita tidak dapat melihatnya setiap hari," katanya.

Penumpang pesawat yang dikenali sebagai Patrick berkata, dia mendengar bunyi penggera selama 45 minit ketika penerbangan.

"Saya juga mendengar bunyi yang sangat kuat dan gegaran pada lantai.

"Kru penerbangan kekal tenang dan edaran makanan dihentikan selain bercakap menerusi telefon ketika memeriksa bahagian sayap dan enjin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Julai 2022 @ 11:56 AM